Berita Utama

Bersihkan Kuala Lumpur daripada peniaga warga asing

GEMPUR pendatang asing tanpa izin (Pati) setiap hari. Itu fokus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan tiada peniaga warga asing menjalankan perniagaan tanpa permit.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya menjalankan operasi setiap hari untuk memastikan Pati yang bekerja tanpa permit atau dokumen sah ‘dibersihkan’ dari ibu negara.

Katanya, pihaknya menggunakan undang-undang kecil perlesenan DBKL bagi tujuan itu dan tindakan diambil kepada lesen penjaja dan perniagaan saja.

“Kita bertindak mengikut bidang kuasa yang ada. DBKL tiada kuasa menahan Pati dan itu tertakluk kepada undang-undang Jabatan Imigresen.

“Oleh yang demikian, orang ramai harus faham apabila kita menjalankan tindakan, hanyalah kepada lesen, bukan menahan Pati,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, DBKL mempergiatkan lagi tindakan terhadap warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.

Dalam kenyataannya, DBKL berkata, tindakan dilaksanakan terhadap dua premis perniagaan yang dikendalikan warga asing di sekitar Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Menurutnya, kedua-dua premis itu dikendalikan warga Indonesia yang tidak mempunyai permit kerja sah dan tindakan penutupan premis iaitu kedai runcit dan kedai gunting rambut di Jalan Datuk Keramat 1, Kampung Datuk Keramat dilaksanakan di bawah Seksyen 101(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Sehingga 29 Jun lalu, DBKL menyita dan menutup 199 premis perniagaan yang dikendalikan warga asing di sekitar Kuala Lumpur.

“Jika mempunyai maklumat mengenai warga asing menjalankan aktiviti perniagaan atau penjajaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800883255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran,” katanya.

Loading...

Leave a Reply