Berita Utama

Bilal meninggal dunia ketika azan Subuh berkumandang

PORT DICKSON: Seorang bilal di Masjid Kampung Baru Si Rusa, Ahmad Bahtin Khalid, 77, meninggal dunia ketika azan Subuh berkumandang pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 6 pagi itu, arwah dikatakan sedang membetulkan sejadah sebelum tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.

Pengerusi masjid, Tusiran Pesan, berkata berdasarkan jadual giliran, arwah Ahmad Bahtin sepatutnya melaungkan azan pagi tadi tetapi azan dilaungkan seorang lagi bilal masjid.

“Ketika azan Subuh hampir selesai, arwah tiba-tiba rebah. Arwah meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya kepada BH ketika ditemui, hari ini.

Seorang jemaah, Hashim Kamarudin, 57, berkata arwah rebah ketika sedang membetulkan sejadah.

“Ketika itu saya terus menerpa dan memangku arwah serta mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah.

“Masa itu, azan masih berkumandang dan dadanya berombak sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

“Arwah seorang yang baik, tidak banyak cakap dan selalu solat jemaah di masjid ini kerana dia juga sering melaungkan azan. Kematiannya amat dicemburui,” katanya.

“Selepas solat subuh, ahli jawatankuasa masjid menghubungi ambulans dan pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan arwah meninggal dunia.

“Selepas solat Subuh, jenazah arwah di bawa ke rumahnya di Lorong Hj Khalid tidak jauh dari masjid.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Pinang selepas solat Zuhur.

Sementara itu, arwah meninggalkan seorang isteri berusia 68 tahun dan sepasang anak berusia 40-an.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!