PASUKAN Selangor FC berdepan tamparan hebat apabila kapten, Brendan Gan disahkan menghadapi kanser testis dan bakal diketepikan untuk tempoh yang panjang pada kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Tonggak tengah skuad Harimau Malaya berkata, dugaan tersebut tidak akan sesekali membuatkannya patah semangat sebaliknya terus berusaha untuk kembali berada di padang bola sepak secepat mungkin.
Kata Brendan, selepas disahkan menghadapi kanser testis, pembedahan sudah dilakukan dan kini langkah seterusnya adalah untuk menjalani proses pemulihan.
“Hidup saya sentiasa positif walaupun ada ketika agak kecewa dengan kritikan negatif tetapi saya sering menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi untuk menguatkan karakter diri sendiri.
“Kini, saya berdepan ujian sekali lagi apabila disahkan mengalami kanser testis dan saya sudahpun melakukan pembedahan. Sekarang adalah fasa untuk saya menjalani proses pemulihan.
“Apa yang pasti, saya sangat bertuah apabila didampingi individu yang sentiasa memberi sokongan terutama keluarga, rakan-rakan terdekat dan komuniti bola sepak tempatan.
“Kanser tidak akan mematahkan semangat saya sebaliknya akan lebih bermotivasi dalam usaha kembali ke padang bola sepak memimpin pasukan Selangor secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram rasminya sebentar tadi.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemain berusia 33 tahun itu sekali gus menamatkan spekulasi ketiadaannya dalam skuad Gergasi Merah ketika seri 1-1 bertemu Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi Liga Super minggu lalu.
Pada aksi tersebut, kesebelasan utama pasukan Selangor dengan ‘misteri’ memegang jersi No.88 milik Brendan ketika bergambar sebelum saingan dimulakan.
Sementara itu, Selangor FC mengesahkan perkara tersebut dan mengucapkan agar semua dapat terus mendoakan kesihatan dan memberikan privasi kepada pemain kelahiran Australia sepanjang tempoh pemulihannya.
Leave a Reply