Berita Utama

Bukan 50 tapi 269 etnik Rohingya mendarat di Langkawi

SERAMAI 269 etnik Rohingya yang dipercayai menempuh perjalanan selama hampir empat bulan dari kem pelarian di Myanmar berjaya mendarat di Langkawi, hari ini.

Kelibat bot berkenaan dilihat memasuki perairan negara jam 4.20 pagi semalam di Pantai Teluk Nibong, Langkawi.

Sumber memberitahu Harian Metro, 269 itu terdiri daripada 80 lelaki, 138 perempuan, 26 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan.

“Selain 269 itu, polis juga sudah menemui satu mayat etnik Rohingya di perairan Langkawi. Mayat itu sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, 53 daripada mereka dilaporkan terjun ke laut selepas bot itu karam termasuklah seorang daripada mereka yang ditemui maut itu.

Katanya, sembilan tekong atau kru bot penyeludupan migran itu dipercayai meninggalkan bot berkenaan menggunakan satu lagi bot selepas memasuki perairan Malaysia.

“Bot itu dipercayai belayar dari kem pelarian Cox Bazar, di Myanmar yang mengambil masa hampir empat bulan untuk tiba di Langkawi,” katanya.

Sumber berkata, bot berkenaan dipercayai membawa lebih 500 etnik Rohingya dan 200 daripadanya dilaporkan mati ketika dalam perjalanan namun pihak berkuasa masih menyiasat perkara berkenaan.

Katanya, semua pelarian terbabit dibawa ke Kem Wawasan Negara di Ulu Melaka, Langkawi untuk proses dokumentasi.

Harian Metro difahamkan, satu sidang media akan diadakan pihak berkuasa berhubung pendaratan terbaru etnik Rohingya itu dalam masa terdekat.

Loading...

Leave a Reply