Berita Utama

Bukit Aman tarik tugas dua polis ‘ganggu’ pemandu wanita

KUALA LUMPUR – Bukit Aman menarik tugas serta-merta dua anggota polis daripada melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya selepas mereka didakwa terbabit dalam kejadian gangguan seksual terhadap dua pemandu kereta wanita, kelmarin.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata tindakan itu dibuat ke atas dua anggota itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Polis pada masa ini sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh selepas kejadian berkenaan dilaporkan oleh dua wanita terbabit termasuk sudah merakam kenyataan daripada mereka.

“Siasatan ini bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai apa sebenarnya berlaku dan siasatan dijalankan secara telus dan teliti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, dua wanita memuat naik dalam akaun laman sosial mendakwa mereka diganggu secara seksual oleh anggota polis bertugas ketika melalui sekatan jalan raya.

Seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa mengalami gangguan seksual ketika melalui sekatan di Jalan Duta, menghala keluar dari Kuala Lumpur, pada jam 7.30 petang, Jumaat lalu.

Seorang lagi wanita mendakwa seorang anggota polis ingin berkenalan dengannya selepas anggota itu meminta nombor telefon bimbitnya juga ketika melalui sekatan.

Zamri berkata, siasatan kes itu dibuat mengikut prosedur dalam penyiasatan termasuk mencari saksi lain atau rakaman yang dapat mengesahkan dakwaan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zamri turut meminta mana-mana pihak yang mengalami situasi sama tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan.

“Pegawai dan anggota PDRM pula perlu bersikap profesional, tidak boleh berbuat sesuatu atau mengeluarkan percakapan yang tidak berkaitan dengan tugas rasmi yang dijalankan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!