Berita Utama

CAP bantah pengeluaran Akaun 1 KWSP

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan mereka dikaji semula dengan teliti.

Ia berikutan pencarum tidak seharusnya dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka sebelum waktu persaraan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan seharusnya menyediakan pakej rangsangan ekonomi dengan pelan memperluaskan bantuan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan daripada meminta mereka menggunakan simpanan bagi merangsang ekonomi.

Katanya, ia berikutan daripada 14.59 juta pencarum KWSP, sebanyak 32 peratus pencarum (4.7 juta) mempunyai baki kira-kira RM1,000; dan 10 peratus (1.5 juta) mempunyai baki kira-kira RM5,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka.

“Dalam erti lain, dianggarkan 6.2 juta (42 peratus) pencarum KWSP tidak mempunyai RM6,000 bagi dikeluarkan.

“Sekiranya mereka kembali bekerja selepas pandemik (Covid-19), bersara pada usia 60 tahun dan meninggal pada usia 76 tahun dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia, mereka tidak akan mempunyai wang bagi tempoh lebih sedekad,” katanya.

Mohideen berkata, CAP turut membantah idea pengeluaran dari Akaun 1 KWSP kerana pencarum dijamin kadar minimum 2.5 peratus setahun daripada simpanan mengikut Seksyen 27 Akta KWSP 1991.

Menurutnya, apabila meminta orang ramai menggunakan dana persaraan mereka untuk kelangsungan hidup seolah-olah seperti bapa meminta anaknya memecahkan tabung simpanan.

“Kerajaan sepatutnya mencari cara lain bagi menyediakan bantuan kepada masyarakat yang terjejas,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Negara 2021, kerajaan mengumumkan memberi kebenaran pengeluaran bulanan RM500 daripada Akaun 1 KWSP atau RM6,000 setahun bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!