Berita Utama

Cop palsu: Tiga lagi MPV mewah bernilai RM750,000 disita SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita tiga lagi kenderaan mewah milik ejen dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) disyaki habuan sindiket yang menguruskan cop sempadan palsu.

Sumber memaklumkan, tiga kenderaan mewah yang dirampas terdiri daripada dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan sebuah MPV Toyota Alphard, dianggarkan bernilai lebih RM750,000.

“Rampasan terbaharu itu susulan tangkapan SPRM membabitkan seorang pegawai kanan Imigresen berpangkat timbalan pengarah dan dua anggota imigresen, kelmarin.

“Bagaimanapun, tiada wang tunai yang dirampas dalam penahanan terbaharu ini dan siasatan masih dijalankan,” kata sumber.

Menurut sumber lagi, tiga kenderaan mewah yang disita adalah milik dua anggota Imigresen yang ditahan itu serta ejen.

“Kehidupan dua anggota Imigresen bergred KP19 dan KP22 terbabit lebih mewah daripada orang atasan, gaya hidup mereka seperti pegawai bergred KP52.

“Anggota terbabit juga dikesan tinggal di rumah semi-D dan menjalani kehidupan mewah dipercayai hasil wang rasuah sindiket terbabit,” kata sumber lagi.

Sumber berkata, siasatan SPRM mendapati timbalan pengarah bergred KP48 itu dipercayai menjadi pelindung kepada sindiket terbabit, namun setakat ini SPRM belum menyita aset miliknya.

Pegawai kanan itu bertugas di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, manakala dua anggota gred KP19 dan KP22 bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ketiga-tiga mereka berusia antara 38 hingga 54 tahun ditahan lewat petang kelmarin di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya selepas dipanggil memberikan keterangan.

Sumber berkata, akaun bank mereka juga akan dibekukan, selain siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan aset lain yang diterima hasil wang rasuah.

Sehingga kini, seramai 53 orang sudah ditahan berkaitan sindiket rasuah dalam urusan cop imigresen di pintu masuk antarabangsa negara menerusi Ops Selat oleh SPRM yang bermula sejak 16 November lalu.

Ini termasuk 33 orang pegawai imigresen yang bertugas di KLIA, klia2 dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

Lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi dirampas dalam operasi berkenaan.

Sindiket itu dipercayai membabitkan rangkaian aktiviti jenayah penyeludupan antarabangsa khusus dari China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh.

Loading...

Leave a Reply