Berita Utama

Situasi Covid-19 kebelakangan ini membimbangkan – Dr Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes harian Covid-19 kebelakangan ini membimbangkan, dengan 15 lagi kes baru yang dilaporkan hari ini.

“Situasi Covid-19 kebelakangan ini didapati membimbangkan kerana jumlah kes harian yang dilaporkan didapati terus meningkat, terutamanya kes penularan di dalam negara.

“Sebelum ini jumlah kes aktif menurun kepada 63 kes pada 9 Julai, namun ia mula meningkat dan jumlah kes aktif kembali melebihi 100 kes pada 19 Julai dan kini mencecah 130 kes,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Daripada 15 kes baru hari ini, empat adalah kes import melibatkan tiga warga Malaysia, manakala 11 lagi penularan tempatan, melibatkan 10 warga Malaysia.

Hampir separuh, iaitu lima daripada kes penularan tempatan melibatkan kluster baru di sebuah hospital di Kuching, Sarawak, yang dirujuk sebagai ‘kluster Sentosa’.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat tujuh lagi pesakit yang sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 8,562 kes iaitu 97.1 peratus dariapada jumlah keseluruhan kes Covid-19.

Seramai empat pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban kekal 123 kes, iaitu 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Loading...

Leave a Reply