Berita Utama

Dakwaan kulit buku hina Jata Negara cubaan sekat kebebasan, kata NGO pro DAP

Kontroversi penerbitan sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara adalah usaha yang jelas untuk menghalang kebebasan bersuara orang ramai, kata kumpulan NGO Lawyers for Liberty.

Sambil mengingatkan bahawa kebebasan bersuara adalah hak asasi yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan, penyelaras NGO itu, Zaid Malek berkata, kebebasan tidak seharusnya disekat semata-mata ada pihak yang tidak menyukai ekspresi atau karya seni itu.

“Sekiranya kamu benar-benar menghormati undang-undang, maka kamu mesti mematuhi Perlembagaan dan tidak merekayasa jenayah yang sebenarnya tidak wujud.

“Tidak ada alasan mengapa pihak berkuasa harus melayan kemarahan yang direka dan kontroversi yang tidak wujud itu.

“Kerajaan harus menegakkan hak kebebasan bersuara dan tidak tunduk kepada pihak yang ingin mempergunakan nama negara demi agenda politik mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang didakwa mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan menjadi tular di media sosial.

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, yang mengetuai membuat laporan polis meminta tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, orang ramai mesti memperbetulkan dakwaan yang salah bahawa kesalahan telah dilakukan. Katanya, Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 hanya melarang penggunaan lambang rasmi tanpa kebenaran bertulis daripada menteri.

“Ia tidak melarang sebarang pameran seni yang diilhamkan atau dicetuskan daripada lambang negara seperti yang digunakan di kulit buku, yang tidak ada orang waras yang mungkin tersilap melihatnya sebagai lambang Jata Negara yang sebenarnya,” katanya.

Lawyer for Liberty juga menganggap siasatan ke atas syarikat penerbitan buku itu Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Mesin Cetak & Penerbitan 1984 adalah undang-undang yang sangat menindas dan anti-demokratik, yang tidak seharusnya digunakan sama sekali oleh pihak berkuasa.

“Undang-undang ini harus segera dimansuhkan pada sidang Parlimen yang akan datang,” katanya.

Menurut Zaid, perlu untuk dimaklumkan bahawa karya seni yang digunakan pada kulit buku itu bukan perkara baru dan lukisan berkenaan pernah menjadi sebahagian daripada pameran di Kuala Lumpur pada awal tahun 2014, ketika Umno memerintah ketika itu.

“Justeru, timbul persoalan mengapa karya seni seperti ini hanya dianggap menyinggung dan tidak dapat diterima ketika ini?” soalnya.

Semalam, polis menyerbu syarikat penerbitan buku itu di Petaling Jaya dan merampas 313 naskhah buku yang belum terjual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata berdasarkan maklumat mereka sebanyak 1,000 buah buku telah dicetak.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga melalui satu kenyataan media, semalam, memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang melanggar larangan berkenaan penggunaan Jata Negara boleh didakwa dan dikenakan hukuman.

Menurut JPM, mereka yang berbuat demikian boleh didakwa dan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963

Loading...

Leave a Reply