PEKEBUN yang mengusahakan tanaman Durian Musang King di Raub Pahang tidak wajar digelar sebagai peneroka haram.
Ini kerana mereka didakwa sudahpun mengusahakan tanaman tersebut di tanah yang dikatakan bukan milik mereka sejak 30 tahun lalu.
Perkara itu dikatakan dapat dibuktikan menerusi rekod pinjaman bank yang dibuat pada 1986.
“Mereka dah duduk sini lama, sudah ada tanaman lama, tak timbul lagi penerokaan haram.
“Nak ikut maklumat, peneroka ini telah mendapat pinjaman Bank Pertanian 1986.
“Jika tanah itu haram, macam mana boleh dapat pinjaman dari bank?”
Demikian kata Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji seperti dipetik laporan portal Malaysiakini malam tadi.
Beliau berkata demikian mempersoalkan tindakan sesetengah pihak terhadap pekebun terlibat sebagai peneroka haram.
Hal demikian turut disokong bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang mendakwa terdapat syarikat milik kerabat diraja Pahang turut terlibat dengan penanaman pokok durian.
“Kita akan menyiasat latar belakang isu ini dan kita akan lihat bagaimana syarikat boleh dipanggil ‘royal’.
“Ia beri satu persepsi tidak benar bahawa rakyat menantang royalty (kerabat diraja). Tidak ada tentang royalty tetapi untuk keadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, beberapa akhbar dan portal dalam talian melaporkan perhimpunan secara aman membantah Kerajaan Negeri Pahang berhubung pemilikan tanah pertanian di Raub.
Bantahan tersebut diadakan selepas mereka didakwa menceroboh tanah yang dikatakan milik Kerajaan Negeri dengan mengusahakan tanaman Durian Musang King.
Leave a Reply