IPOH – DAP dan PKR bersedia untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu selepas perletakan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, parti itu akan memberi kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri baharu yang lebih stabil.
“Demi kepentingan rakyat, DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membantu membina sebuah kerajaan kuat dan stabil serta pelbagai kaum.
“Saya terbuka untuk sebarang perbincangan secara konstruktif, kami bersedia,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan Umno demi kestabilan politik dan kebaikan rakyat.
Terdahulu, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk membentuk jajaran baharu politik di Perak.
Ini berikutan keputusan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak menyokong pembentukan kerajaan baharu di Perak selepas Ahmad Faizal gagal meraih sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usul undi percaya terhadap beliau, kelmarin.
Leave a Reply