Berita Utama

DBKL beku permohonan baharu, perbaharui lesen minuman keras

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan semua permohonan baharu dan pembaharuan lesen penjualan minuman keras di pusat bandar, berkuat kuasa hari ini.

Ia susulan pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ekoran kejadian kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk yang berlaku di negara ini sejak kebelakangan ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi notis pemberitahuan dikeluarkan Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, hari ini.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti penjualan minuman keras tanpa lesen,” katanya.

Sementara itu, jurucakap DBKL ketika dihubungi, memaklumkan arahan pembekuan bagi permohonan baharu dan pembaharuan lesen penjualan minuman keras itu berkuat kuasa bagi suatu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Arahan ini akan menyaksikan pengurangan bilangan premis yang menjual minuman keras secara sah. Ia dibuat bagi mengekang kejadian kes kemalangan akibat pemandu mabuk.

“Perkara ini disepakati jawatankuasa khas berkaitan penjualan arak yang turut membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya.

Semalam, Annuar dilapor berkata, tindakan pembekuan itu adalah wajar sehingga satu garis panduan diwujudkan dan semakan perundangan dilakukan pihaknya.

Sebanyak 21 kes kemalangan jalan raya ekoran pemandu mabuk dengan lapas kes kematian direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), antara Januari hingga Mei lalu.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu disabit kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol atau dadah.

Loading...

Leave a Reply