Pereka grafik, Fahmi Reza menyifatkan reaksi mereka yang berang dengan hiasan kulit depan buku yang dikatakan menghina jata negara itu sebagai kebudak-budakan, lapor TTKM.
“Dengan design kulit buku dan karya parodi pun nak menggelabah, menggelupur panas bontot dan melalak macam budak kecik. Lembik betul. Apa boleh buat, rasis dan macai memang lembik dan senang gelabah,” katanya.
Menurut Fahmi, rekabentuk buku tersebut merupakan karya parodi dan isu tersebut sengaja dimainkan oleh pihak konservatif disebabkan editornya berketurunan Cina sehingga menjadi isu perkauman.
“Satu design kulit buku yang merupakan karya parodi lambang jata negara pun puak konservatif nak besar-besarkan jadi isu perkauman sebab buku tu diterbitkan masa zaman PH dan editornya keturunan Cina.
“Seperti biasa sentimen perkauman diperalat sebagai modal dan dibakar untuk alih perhatian. Dengan karya parodi pun nak menggelabah. Siap suruh pihak berkuasa ambik tindakan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsikan satu muka depan buku yang diterbitkan pada tahun 2011.
“Ini design kulit buku yang pernah diterbitkan 9 tahun dahulu pada tahun 2011 masa zaman BN. Tak kecoh pun dulu?,” katanya.
Pada hantaran yang lain, Fahmi turut menaikkan gambar kotak tisu dengan lambang jata negara berwarna kelabu dengan kapsyen “Nak tisu?”
Sejak semalam, hiasan kulit depan buku yang bertajuk “REBIRTH: REFORMASI, RESISTANCE, AND HOPE IN NEW MALAYSIA” memaparkan gambar seolah-olah jata negara yang diubahsuai sehingga mencetuskan kemarahan netizen.
Buku tersebut disunting oleh Kean Wong dan diterbitkan The Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) awal tahun ini.
Pada perkembangan yang sama, The Star melaporkan Bukit Aman mengesahkan menerima laporan dan akan menyiasat dan memanggil mereka yang dikaitkan dengan buku yang didakwa menghina Jata Negara itu.
Timbalan Timbalan Pengarah CID Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata mereka termasuk pengarang, editor dan penerbit buku.
“Kami telah menerima laporan mengenai perkara itu. Kami akan menyiasat dan memanggil pihak-pihak yang berkenaan, termasuk pengarang dan penerbit,” katanya.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin mengarahkan Polis DiRaja Malaysia supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang meniru lambang yang serupa Lambang Kerajaan Persekutuan, Jata Negara.
“Saya telah arahkan PDRM untuk siasat dan ambil tindakan yang tegas dengan segera.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan yang tidak patriotik dan bertanggungjawab ini,” katanya.
Leave a Reply