Berita Utama

Doktor, pensyarah kecam siri ‘Kakak Kondom’

SIRI video ‘Kakak Kondom’ terbitan Yayasan Aids Malaysia (MAC) untuk mendidik dan memberi kesedaran tentang kesihatan seksual dan reproduktif didakwa tidak sesuai dengan norma masyarakat Malaysia.

Seorang pengamal perubatan, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, video yang dikongsi di YouTube Yayasan Aids Malaysia (MAC) itu sepatutnya mendidik masyarakat terutama anak muda untuk menjauhkan perbuatan seks sebelum berkahwin.

Tegas beliau, sebagai seorang doktor dia sentiasa kritikal mengenai kaedah pengajaran pendidikan seks selamat sedangkan ianya berpotensi untuk menormalkan perbuatan seks sebelum berkahwin.

“Mengajar masyarakat kita dan anak-anak kita untuk tidak terlibat dalam zina adalah sangat penting. Ia sepatutnya mengatasi seks di luar perkahwinan, pembuangan bayi, kehamilan remaja dan lain lain.

“Kes pembuangan bayi yang tinggi adalah gambaran bagaimana kita tidak mengambil langkah yang cukup untuk memastikan bahawa ibu bapa, keluarga dapat mengatasi kemajuan terkini dalam aplikasi media sosial yang membolehkan maksiat merebak.

“Pendidikan seks melengkapkan tahap tertentu dan mesti dilakukan dalam kerangka perkahwinan,” kata Dr. Rafidah Hanim.

Seorang lagi pengamal perubatan, Dr. Nadia Najib turut mempersoalkan adakah Malaysia perlu sebuah program seperti ‘Kakak kondom’.

“Saya benar-benar kecam siri ‘Kakak kondom’ yang disiarkan di media sosial dengan usaha menarik belia ke perbincangan seksual secara bebas.

“Siri ini lebih menarik bagi para belia untuk membicarakan seks dengan ‘gaya bebas’ dengan menggunakan tema mesra dan mesra remaja seperti makan samyang.

“Mereka malah membincangkan perincian tindakan seksual seperti pelincir yang mana yang harus digunakan. Saya tertanya-tanya berapa banyak butiran ini sebenarnya untuk mendidik para belia atau sebenarnya memikat mereka ke dalam aktiviti seksual,” tegas Dr. Nadia.

Malah menurut beliau maklumat yang dikongsi oleh ‘kakak’ dan ‘adik kondom’ yang tidak mempunyai latar belakang perubatan juga boleh dipersoalkan.

Sementara Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, walaupun rancangan tersebut mempunyai tujuan yang baik namun kaedah penyampaiannya agak mengelirukan.

“Timbul persoalan disini, apakah rancangan Kakak Kondom ini bertujuan membiasakan (neutralisasi) anak muda tentang seks yang selamat dengan menggunakan kondom? Bukankah ini seakan memberikan signal kepada anak muda tentang perlakuan seks ketika muda sebelum berkahwin?

“Idea mempromosi safe sex atau kempen Kakak Kondom ini walau bagaimanapun sebenarnya tidak juga menjamin menyelesaikan masalah pembuangan bayi. Isu pembuangan bayi kebanyakannya berpunca dari perbuatan seks sebelum nikah atau zina.

“Sekiranya mereka sudah berkahwin secara sah, amat jauh kebarangkalian untuk mereka membuang zuriat yang diperolehi itu,” kata Dr. Ahmad Sanusi.

Menurutnya, kempen seks selamat anjuran barat adalah tidak sesuai untuk diamalkan dalam norma dan budaya masyarakat setempat.

Malaysia mempunyai budaya dan agama yang berbeza yang berupaya menangani isu ini dengan pendekatan kita tersendiri.-SM

Loading...

Leave a Reply