Berita Utama

Doktor rawat pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat keletihan

CYBERJAYA – Seorang petugas barisan hadapan meninggal dunia selepas beberapa hari dirawat di hospital selepas pengsan ketika bertugas melawan Covid-19.

Berdasar satu perkongsian oleh Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Allahyarham Dr Ali Noor Hassan yang juga ahli skuad tersebut meninggal dunia akibat keletihan.

“Sebelum meninggal dunia, rakannya sempat merakamkan gambar terakhir beliau yang sangat keletihan.

“Beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirehat setelah bertugas di barisan hadapan Kementerian Kesihatan menangani Covid-19. Beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya.

Menurut SPRM lagi, selain bertugas sebagai doktor perubatan, Allahyarham juga aktif dalam kerja-kerja dakwah dan pernah menyertai perhimpunan Jemaah Tabligh di Beaufort, Sabah.

“Setiap kali Ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak.

“Sekali lagi SPJM kehilangan seorang ahli yang begitu komited berkhidmat untuk ummah selepas pemergian Pengerusi SPJM Kedah, Allahyarham Habibullah pada Jumaat lepas.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan beliau dan mengampuni segala dosanya yang lampau. Salam takziah buat ahli keluarganya,” ujarnya.-MT

KKM nafi Dr Ali meninggal sebab terlampau penat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia disebabkan pendarahan dalam otak dan bukan akibat terlampau penat dengan beban tugas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, arwah yang bertugas di sebuah klinik kesihatan di Cheras mengalami penyakit ‘aneurysm’ dalam otak dan disahkan meninggal dunia pada 18 Januari lalu.

“Beliau dikesan mempunyai penyakit lain dan tiada kaitan dengan kelesuan bekerja. Ujian Covid-19 adalah negatif,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham melalui Facebook rasminya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Ali atas pemergian arwah.

“Allahyarham Dr Ali pulang ke pangkuan Ilahi lewat malam 18 Januari 2021.

“Beliau adalah seorang pegawai perubatan KKM yang amat disenangi rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, arwah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember lalu disebabkan penyakit lain dan menjalani beberapa sesi rawatan.

“Bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga arwah, KKM memohon supaya mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau.

“Marilah kita sama-sama memanjatkan doa dan peringatan buat arwah Dr Ali Noor. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Sementara itu, salah seorang dipercayai waris kepada mangsa melalui Facebook yang tular mengesahkan arwah meninggal dunia akibat terjatuh di bilik air ketika bekerja dan mengakibatkan pendarahan di kepala serta beberapa kali sudah dibedah.

“Arwah adalah anak saudara saya dan meninggal dunia akibat jatuh bilik air. Mohon perbetulkan fakta,” katanya merujuk kepada tular mengenai berita pemergian Dr Ali akibat kepenatan bekerja.

Loading...

1 Comment

  1. Dr Haji

    Salam takziah. Semoga kita seluruh manusia yang ketika hidup ikutlah segala nasihat ibu bapa, guru dan juga semua insan kamil termasuk para doktor perubatan. ..khususnya waktu makan , waktu berehat dan apa juga dari segi perubatan dan pengubatan. Al-Fatihah ( dibaca).

Leave a Reply to Cancel reply

error: Content is protected !!