Berita Utama

Dr Hisham puji keberanian PM laksana PKP sehingga Covid-19 berjaya dikawal

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia hingga mengubah landskap kehidupan kepada kebiasaan baharu, menyebabkan negara di dunia termasuk Malaysia mengambil langkah luar biasa bagi memastikan negara dapat bebas daripada pandemik itu.

Mengambil alih teraju kepimpinan negara bukan pada masa terbaik ekoran ancaman COVID-19, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas menggalas tugas berat apabila dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac ketika negara sedang memerangi pandemik COVID-19, yang menyaksikan kes positif meningkat ketara.

Perlu bertindak segera menangani krisis kesihatan melanda negara sejak akhir Januari pastinya menguji kebijaksanaan Muhyiddin mengemudi kerajaan untuk mengambil langkah berhati-hati dan membuat keputusan melaksanakan langkah yang tidak pernah dilakukan setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang bersesuaian dengan ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam tempoh 100 hari pertama sebagai Perdana Menteri, tindakan Muhyiddin memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac sebagai usaha membendung penularan COVID-19, disifatkan beberapa pihak sebagai langkah tidak popular namun berani.

Memperkenalkan kawalan pergerakan mengikut acuan tersendiri bagi Malaysia, Muhyiddin mengumumkan penguatkuasaan PKP dalam empat fasa hingga 3 Mei, disambung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei hingga 9 Jun dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa 10 Jun hingga 31 Ogos.

PKPP ialah sebahagian strategi keluar daripada PKP bagi Malaysia yang kini memasuki fasa pemulihan COVID-19, susulan trend jangkitan wabak semakin menurun, manakala kapasiti perubatan dan kesihatan awam berada pada tahap lebih baik dan meyakinkan.

Mengulas tindakan kerajaan memerangi COVID-19, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, antara petugas barisan hadapan tertinggi memerangi COVID-19, menyifatkan penguatkuasaan PKP dibuat ketika negara tidak mempunyai keupayaan, iaitu ketiadaan vaksin COVID-19 atau ubat untuk merawat pesakit.

“KKM berbincang dengan Tan Sri (Muhyiddin) mengenai situasi COVID-19 dan saya kagum kerana beliau dengan berani ambil tindakan laksanakan PKP kerana ketika itu tak banyak negara laksanakan tindakan seumpama selain China.

“Pelaksanaan PKP juga menyaksikan kita menggunakan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988) yang tidak pernah lagi digunakan dalam sejarah negara kita.

“Kita sokong, itulah cara terbaik dan tiada betul ataupun salah sebab tiada orang (negara) buat lagi (PKP) ini. Orang kata ‘uncharted territory’ (sesuatu yang baharu), ini satu keberanian,” katanya dalam temu bual khas bersama BERNAMA di KKM di sini.

Mengimbas kembali tindakan awal Muhyiddin memperkenalkan PKP menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri pada 16 Mac, Dr Noor Hishan berkata, ramai sangsi dengan keputusan Perdana Menteri untuk melaksanakan perintah kawalan itu.

“Sebelum 16 Mac itu (pengumuman PKP), ramai sangsi, betulkah tindakan PKP ini? Tindakan tak popular, tetapi ini bukan soal (langkah) popular atau tidak, ini soal keselamatan negara dan jika itu cara untuk menyelamatkan negara, kita laksanakan dasar itu.

“Kini, kita lihat PKP berjaya meratakan lengkuk COVID-19 dan banyak negara jiran mengikuti langkah sama. Ini menunjukkan Malaysia sudah ke depan dalam menggunakan kaedah yang tidak pernah lagi diguna pakai di negara lain khususnya di rantau Asia,” katanya.

Sikap Muhyiddin memberi kepercayaan tinggi kepada semua penjawat awam untuk menjalankan tugas memerangi wabak itu, turut dikagumi.

Bagi Dr Noor Hisham, matlamat dan agenda kerajaan serta semua orang ketika itu hanyalah satu, iaitu untuk menyelamatkan negara daripada COVID-19 dengan menggunakan kaedah ‘full government approach’ atau kerjasama padu antara semua kementerian dan agensi kerajaan.

“Bukan sahaja keberanian (buat keputusan oleh) Tan Sri (Muhyiddin), malah yang penting beliau dengar dan percaya pada penjawat awam untuk melaksanakan dasar (PKP) dalam kita memerangi COVID-19,” katanya mengingati hari pertamanya bermesyuarat bersama Muhyiddin berkaitan COVID-19 pada hari kedua Perdana Menteri memulakan tugas.

Pertama kali dalam sejarah Malaysia, PKP dilaksanakan itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial serta budaya.

Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara turut dikenakan dan bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

PKP turut menyaksikan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke Malaysia disekat dan tindakan kawalan sempadan yang tegas.

Di peringkat antarabangsa, penyertaan Malaysia dalam kerjasama global untuk menyegerakan usaha dalam penghasilan vaksin COVID-19 mendapat sentuhan langsung Muhyiddin apabila menyertai beberapa pemimpin dalam telesidang dihoskan WHO pada pelancaran kerjasama penghasilan vaksin COVID-19 pada 24 April.

“Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadi sebahagian usaha yang terikat dengan masa ini dan turut serta dalam penghasilan dan pembuatan beberapa peralatan dan vaksin ini sebaik sahaja diperlukan.

“Saya menggesa pemimpin, penderma, sektor swasta dan komuniti saintifik di seluruh dunia untuk menyokong usaha penting ini bagi memenangi perang terhadap COVID-19,” kata Muhyiddin dalam ucapannya.

Mengiktiraf peranan dan sumbangan besar petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan, Muhyiddin mengadakan sidang video bersama wakil mereka untuk bertanya khabar dan mendengar sendiri keluh-kesah serta permintaan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19 dan menjayakan pelaksanaan PKP.

Bagi menangani wabak COVID-19 yang memberi impak besar terhadap ekonomi dan rakyat Malaysia, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion bagi melindungi kebajikan dan meringankan beban yang ditanggung semua rakyat pada 27 Mac.

Pakej rangsangan itu meliputi suntikan tambahan khas RM1 bilion kepada KKM bagi pembelian peralatan dan membiayai perkhidmatan untuk memerangi COVID-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan serta pembayaran elaun khas dari RM400 hingga RM600 untuk petugas kesihatan dan perubatan dan elaun khas RM200 kepada anggota beruniform.

Menyifatkannya sebagai tindakan tepat, Dr Noor Hisham berkata langkah itu pastinya dapat membantu memulihkan negara yang terkesan akibat wabak COVID-19, sekali gus dapat mengimbangkan ‘live’ dan ‘livelihood’.

“Inisiatif (PRIHATIN) itu tepat dan cepat. Kini kita lihat kerajaan laksana pula PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) untuk rangsang ekonomi supaya kita (negara) cepat pulih daripada wabak dan sektor ekonomi.

“This is win-win situation. Ini (PRIHATIN dan PKPB) ialah tindakan bijak. Kita dalam fasa pemulihan, iaitu mampu kawal wabak dan pada masa yang sama kita merancakkan kembali sektor ekonomi negara,” katanya.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin turut melancarkan Tabung COVID-19 pada 11 Mac sebagai usaha kerajaan membantu rakyat terjejas akibat wabak COVID-19.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang mengandungi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion untuk membantu usaha pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak COVID-19. – BERNAMA

Loading...

1 Comment

  1. AWANG BIN ABDULLAH

    Alhamdulilah dan Tahniah kpd PM Tan Sri Mahyuddin serta petugas2 yg terlibat. Tetapi dukacita dimaklumkan keperihatinan YAB PM supaya tidak ada yg tercicir dlm usaha kerajaan PN membantu pendapatan rakyat yg terjejas sprt BSH/BPN/GKP akibat perlaksanaan PKP sebenarnya tidak menyeluruh sebab ramai yg tlh di nafikan oleh pihak yg dilantik utk menyalurkan bantuan tsbt dgn mengenakan syarat yg tidak masuk akal sehingga ada gagal, termasuk saya, utk mendapat bantuan tsbt. Ini membantut niat baik kerajaan baru utk menolong rakyat yg terjejas di sebabkan PKP berkenaan. Mohon menteri yg di lantik utk menentukan prog yg mulia ini memantau pihak yg di amanahkan utk melakukan tugas ini melakukannya secara menyeluruh dan adil, menurut kata YAB Tan Sri Mahyuddin tidak ada yg akan tercicir tetapi sebaliknya ramai yg tercicir di sbb kan pihak yg yg di amanahkan menafikan peluang kami utk menerima bantuan tsbt.

Leave a Reply