Blog Berita Online

Berita Utama

Dua anggota APM maut kereta langgar belakang treler

MARAN: Dua maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki melanggar bahagian belakang sebuah lori treler di Kilometer 142.8 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 di sini hari ini.

Dua mangsa yang maut anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) iaitu pemandu kereta jenis Proton Wira, Muhammad Nur Izzuddin Mohd. Razali, 21, dan penumpang hadapan, Siti Fairuz Adnan, 28.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian kira-kira pukul 2.55 petang itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berada di lorong perlahan.

“Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang belakang cedera. parah,” katanya.

Menurut Kamarulzaman, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dua lorong satu hala dan semasa kejadian cuaca hujan dan permukaan jalan basah.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang disyaki memandu secara cuai dan melulu dalam cuaca hujan lebat sehingga terbabas dan menyebabkan kemalangan,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply