Blog Berita Online

Berita Utama

Dua beradik antara 3 maut nahas kereta bertembung lori sawit

ROMPIN – Tiga maut termasuk dua beradik dalam kemalangan ngeri melibatkan pertembungan sebuah treler dan kereta Perodua Myvi di kilometer 27 Jalan Ibam – Rompin, dekat kilang Farm Fresh kira-kira pukul 10.08 malam tadi.
Advertisement

Mangsa yang maut pemandu dan penumpang Perodua Myvi, Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22 dan adik beradik, Nazira Ramli, 23, serta adiknya, Suhada, 22, yang beralamat di Felda Selendang di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd. Azahari Mukhtar berkata, pemandu lori jenis Nissan, Muhammad Helmi Abdul Rahman selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta Perodua Myvi yang dipandu Suhada dari arah Muadzam ke Rompin terbabas ke lorong bertentangan sebelum melanggar lori treler yang datang dari arah hadapan.

“Susulan pertembungan itu, pemandu dan dua penumpang kereta meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat kemalangan tersebut.

Katanya, setibanya di lokasi, bomba mengesahkan terdapat kemalangan melibatkan sebuah treler dengan kenderaan jenis Perodua Myvi.

“Dalam kemalangan terbabit, anggota bomba mendapati kenderaan Myvi remuk teruk hingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa itu tersepit.

“Semua mangsa itu disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan yang turut ada di lokasi kejadian.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut serta dihantar ke Hospital Muadzam Shah bagi proses bedah siasat,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply