Perkara yang paling ditakuti setiap insan adalah menerima berita kehilangan orang yang tersayang dalam keadaan mengejut.
Semalam, tular satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 34, Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Kampung Sungai Ular.
Mangsa, Siti Rohani Sapeai@Shafie, 38, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menerusi Facebook, seorang individu dikenali Nurfa Ray telah memuat naik beberapa gambar di lokasi kejadian termasuklah satu gambar yang memaparkan dua anak mangsa sedang berpelukan menangisi pemergian ibu mereka.
Dalam satu lagi perkongsian Facebook, guru kepada anak mangsa berusia 7 tahun, Fatiha Aina memberitahu, kanak-kanak itu masih bersedih dengan kehilangan itu dan lebih suka berkurung di dalam bilik.
Difahamkan, mangsa merupakan seorang ibu tunggal sementara suaminya pula menghilangkan diri.
Mangsa melakukan dua kerja untuk menyara dua anaknya. Pada sebelah pagi, mangsa bekerja sebagai tukang cuci dan pada sebelah malam bekerja di kanting sebuah kilang di Gebeng.
Kini, tanggungjawab menjaga dan menyara keluarga terletak di bahu anak sulung arwah, yang baru berusia 18 tahun. Hasratnya untuk menyambung pengajian perlu dilupakan, kerana perlu keluar mencari kerja.
Hiba rasa membaca kisah dua beradik ini, kini ibu yang selama ini menjadi ‘wira’ dan tunjang utama dalam keluarga pergi dengan sekelip mata.
Semoga dua beradik itu dan keluarga mereka diberikan ketabahan bagi menghadapi kehilangan ini.
10 tanda kematian yang baik
HUSNUL khatimah atau pengakhiran hidup yang baik adalah keadaan seorang mukmin yang pada penghujung hidupnya diberi petunjuk oleh ALLAH SWT untuk meninggalkan segala perbuatan dosa.
Mati dalam husnul khatimah memiliki tanda tertentu. Antara tanda itu, ada yang hanya diketahui oleh bakal jenazah yang telah beroleh keredaan ALLAH. Namun ada juga tanda-tanda yang dapat diketahui secara umum.
Syeikh Abdurrahman As-Sa’di, dalam tafsirnya mengatakan itu adalah tanda kepada seorang Muslim yang teguh keimanannya dan kemuliaan tersebut berupa anugerah ALLAH.
Laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel al-Kafi lil Fatawi menjelaskan, terdapat banyak hadis yang menyebut tentang tanda seseorang itu meninggal dunia dalam husnul khatimah.
Terlebih dahulu, antara syarat terpenting untuk mendapat husnul khatimah ialah mati dalam keadaan menganut agama Islam, beriman kepada ALLAH SWT dan melafazkan syahadah sebelum menutup mata. Ini kerana ALLAH tidak mengampunkan dosa orang yang melakukan syirik kepada-NYA, firman ALLAH di dalam Surah an-Nisa, ayat 48 yang bermaksud:
“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNYA (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut aturan Syariat-NYA). Dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”
Antara tanda bagi kematian husnul khatimah:
1. Mati pada hari atau malam Jumaat.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali ALLAH akan melindunginya daripada fitnah kubur.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
2. Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembus nafas terakhir.
Berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan ALLAH’, nescaya dia akan memasuki syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya.
Rasulullah SAW bersabda: “Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
4. Dia diberikan taufik dan hidayah oleh ALLAH untuk beramal soleh sebelum meninggal dunia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya ALLAH menginginkan kebaikan terhadap hamba-NYA, maka DIA menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat bertanya, “Bagaimana DIA menjadikannya sentiasa melakukan amal?” Rasulullah bersabda: “ALLAH akan memberikan taufik padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya. (Hadith riwayat at-Tirmizi)
5. Selain itu, antara tanda yang lain ialah seseorang Muslim itu berasa gembira bertemu ALLAH SWT.
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa gembira bertemu dengan ALLAH, maka ALLAH gembira bertemu dengannya. Dan barang siapa merasa berat bertemu dengan ALLAH, maka ALLAH juga merasa berat untuk bertemu dengannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
6. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid.” (Hadis Riwayat Muslim)
7. Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan ALLAH SWT.
Di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan ALLAH.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
8. Meninggal dunia ketika bersalin.
Sebagaimana hadis: “Seorang Muslim yang terbunuh dikira syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira syahid, kematian kerana sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira syahid.” (Hadis Riwayat Ibn Kathir)
9. Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya.
Sebagaimana hadis yang bermaksud: “Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!” “Bagaimana kalau dia melawanku?”. Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!” “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid”. “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!” (Hadith riwayat Muslim)
10. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.
Berdasarkan hadis yang bermaksud: “Barang siapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredaan ALLAH SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barang siapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredaan ALLAH, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barang
Leave a Reply