KUALA PILAH – Dua beranak maut manakala tiga lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Terachi-Tanjung Ipoh, di sini awal pagi tadi.
Difahamkan, mangsa, Nuratika Arsad, 27, dan anaknya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Norhirwan Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.21 pagi lalu menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti dan Kuala Pilah ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba, anggota bomba mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira telah terbabas.
“Terdapat lima mangsa, bagaimanapun seorang wanita dan anaknya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Mangsa yang lain dapat diselamatkan pihak bomba dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya lagi, kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan dan siasatan di lokasi nahas diteruskan oleh polis. – KOSMO! ONLINE
Leave a Reply