Berita Utama

Dua buah rumah ranap sekelip mata akibat tanah runtuh

KUANTAN – Dua rumah musnah dalam kejadian tanah runtuh di Taman Gambang Damai di sini awal pagi Selasa.

Kejadian yang dilaporkan jam 3.40 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abdul Rahim Muda berkata, empat rumah dikenal pasti sangat berisiko dan 22 lagi diarah dikosongkan atas faktor keselamatan.

Menurutnya, 34 mangsa daripada enam keluarga yang terlibat dipindahkan ke Bukit Gambang Resort City (BGRC) untuk sementara waktu.

“Difahamkan hanya beberapa rumah termasuk salah satu yang roboh berpenghuni, manakala selebihnya dijadikan rumah tamu dan kosong ketika kejadian.

“Difahamkan ada pemilik rumah berpindah lebih awal selepas bimbang ekoran berlaku retakan struktur rumah sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Abdul Rahim berkata, berdasarkan laporan awal, kejadian dipercayai berlaku akibat pergerakan tanah di kawasan cerun susulan aliran air hujan yang berterusan beberapa hari lalu.

Katanya, pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMS) akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kita jangka proses ini akan mengambil masa seminggu untuk mengenal pasti punca kejadian dan menilai risiko sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Kerajaan negeri tidak mahu mengambil risiko dan sebagai langkah selamat, semua rumah yang berisiko diarah dikosongkan sementara siasatan selesai,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!