DUA kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera tertimbus tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu, malam tadi.
Mangsa Norain Jaziz, 11, dan Isa Sabri, 2, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), manakala Siti Nur, 28, parah patah tangan dan suaminya Sabri Botong, 28, cedera ringan di kaki menerima rawatan hospital sama .
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu 8.26 malam tadi.
Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku tanah runtuh menghempap sebuah rumah yang didiami sembilan sekeluarga.
“Terdapat empat mangsa terbabit dalam kejadian itu dengan tiga daripada mereka tertimbus tanah dan pokok, manakala satu lagi cedera di kaki,” katanya, malam tadi.
Menurut kenyataan itu, seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Dua lagi mangsa perempuan termasuk seorang kanak-kanak yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan orang awam.
“Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan EMRS dan ambulans.
“Dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di hospital manakala dua lagi mangsa yang cedera kini menerima rawatan,” katanya.
Katanya lagi, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain terbabit operasi ditamatkan kira-kira 10 malam tadi.
Gembira beberapa hari petanda ajal
“Arwah kelihatan sangat gembira beberapa hari lalu dan saya tidak sangka ini petanda dia mahu tinggalkan kami selama-lamanya”.
Demikian kata-kata Razma Botong, 36 ibu kepada kanak-kanak maut, Norain Jaziz, 11 yang tetimbus tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas malam kelmarin.
Razma berkata semasa kejadian dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis waktu bekerja di sebuah restoran di pusat beli belah di Karamunsing kira-kira jam 8.10 malam.
Katanya beliau terkejut sebaik dikhabarkan tentang kejadian tanah runtuh itu dan bergegas ke rumah bapanya.
“Ketika itu orang ramai dan pasukan bomba sudah menjalankan operasi mencari di kawasan runtuhan dan saya hanya harapkan anak saya selamat.
“Beberapa ketika selepas itu anak saya ditemukan dan dibawa menaiki ambulans sebelum dihantar ke hospital,” katanya.
Katanya beliau akur selepas pihak hospital memaklumkan anaknya itu tidak dapat diselamatkan dan pergi meninggalkan mereka selamanya.
Bercakap lanjut tentang arwah anaknya itu, beliau berkata anak bongusnya sangat rajin menolongnya membuat kerja rumah selain cerdik serta rapat dengan abangnya berumur 13 tahun.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan anak saya kira-kira jam 9 pagi sebelum bertolak ke tempat kerja dan dia sudah selesai bersarapan.
“Anak saya juga menunjukkan kelakuan yang sangat positif dan gembira sejak beberapa hari sebelum kejadian dan tidak sangka itulah tanda dia mahu tinggalkan kami.
“Saya redha dengan ujian yang Allah berikan kepada kami,” katanya semasa ditemui Utusan Borneo semalam.
Sementara itu bapa kepada Razma, Botong Jaafar, 57 berkata semasa kejadian beliau dan dua lagi cucunya yang meninggal dunia akibat kejadian ini berada di ruang tamu.
“Masa itu kami sudah selesai makan malam dan kedua-dua arwah sedang bermain-main di ruang tamu sebelum saya mendengar bunyi kuat dari kawasan atas bukit berhampiran rumah.
“Tanpa sempat berbuat apa-apa secara tiba-tiba rumah saya runtuh dan cucu saya hilang tertimbus tanah,” katanya.
Katanya anaknya sempat keluar dan meminta pertolongan manakala isterinya yang berada di kawasan dapur juga sempat menyelamatkan diri.
“Operasi mencari segera dijalankan dan cucu pertama saya, Isa Sabri, 2 berjaya ditemukan dan dihantar ke hospital manakala seorang lagi cucu saya Norain ditemukan jam 9 lebih kemudian.
“Anak dan menantu saya juga mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya mereka sekeluarga sudah tinggal di kawasan itu sejak 30 tahun lalu dan ini adalah kejadian kali pertama yang berlaku di situ.
Beliau berkata mereka sekeluarga akan berpindah dari kawasan itu serta merta dan akan mendapatkan rumah sewa selepas ini.
Katanya jasad kedua cucunya akan disemadikan di Kepayan sebaik selesai proses di hospital kelak.
Leave a Reply