Berita Utama

Dua maut, 6 cedera MPV terbabas di LPT2

HULU TERENGGANU – Dua maut dan enam lagi cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer (KM) 420.6 di Lebuh raya Pantai Timur (LPT) 2, Ajil-Telemong, di sini pagi Selasa.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mengorbankan pemandu warga Nepal dan penumpang hadapan warga India.

Enam lagi penumpang belakang iaitu empat warga India dan seorang warga Nepal serta Pakistan mengalami kecederaan ringan di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa berusia antara 23 hingga 41 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.

“Setibanya di lokasi, difahamkan MPV dinaiki hilang kawalan selepas terlanggar lopak air sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Punca kematian masih belum diketahui kerana bedah siasat masih belum dijalankan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini pada Selasa.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu menyebabkan kematian.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!