SEREMBAN – Di daerah ini, Mantin adalah lokasi popular dan tumpuan peminat durian untuk mendapatkan raja buah tersebut.
Dusun dan jumlah peniaga yang banyak di kawasan sekitar terletak tidak jauh dari Lembah Klang menyebabkannya sering menjadi pilihan ‘hantu’ durian.
Namun, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, sambutan pembeli pada musim durian kali ini dilihat agak perlahan disebabkan halangan rentas daerah dan negeri.
Seorang peniaga durian, Lee Pack Kim, 35, mengakui permintaan pembeli terhadap durian jualannya agak rendah malah dia terpaksa memberi diskaun bagi mengelakkan lambakan buah yang sudah diborongnya itu.
“Saya jangka hanya 50 peratus penjualan durian kerana tiada pergerakan rentas daerah dan negeri serta rata-rata yang datang hanya penduduk sekitar 10 kilometer.
“Saya mendapatkan bekalan durian daripada pengusaha dusun sekitar Mantin, Melaka dan Johor bagi membolehkan peminat durian boleh mendapatkan raja buah ini pada awal musimnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Pack Kim memberitahu, harga durian masih tidak jauh berbeza berbanding sebelum ini iaitu durian kampung dijual pada harga RM8 sekilogram (kg), durian kahwin RM18/kg, Musang King RM35/kg dan Udang Merah RM28/kg.
Sementara itu, rata-rata pelanggan yang ditemui Utusan Malaysia memberitahu, kehadiran musim durian pada tahun ini agak berbeza kerana mereka sekadar membelinya untuk keluarga di rumah.
Norayati Mohd. Ali, 60, berkata, dia dan suami yang merupakan penggemar durian hanya sekadar membeli sedikit untuk menikmati musim durian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jika sebelum ini, saya akan membeli lebih 10 kilogram untuk anak-anak namun tiada pergerakan rentas daerah dan negeri jadi kami hanya membeli sekadar untuk makan dan untuk dijadikan serawa durian,” katanya. – UTUSAN OLINE
Leave a Reply