PETALING JAYA – Penyanyi legenda Indonesia, Elly Kasim Ali Umar menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun akibat penyakit radang usus di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre, Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia, pukul 3.48 pagi tadi (waktu tempatan).
Berita duka pemergian penyanyi yang terkenal dengan lagu Ayam Den Lapeh itu disahkan oleh anak saudaranya, Arfi Bambani menerusi portal Suara.com.
Dalam kenyataan tersebut, Arfi menafikan pemergian penyanyi legenda lagu Minang itu akibat Covid-19 sebaliknya akibat penyakit radang usus.
“Arwah sudah dirawat di rumah sakit. Memang arwah mempunyai sakit kronik, bukannya Covid-19.
“Penyakit radang usus semakin kronik yang sudah merebak ke bahagian organ lain,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut Arfi, Allahyarham menjadi kebanggaan bukan hanya keluarga, tetapi juga di daerah asalnya di Tiku, Sumatera Barat.
“Arwah kerap membawakan lagu-lagu Minang. Sebut sahaja lagu popular seperti Ayam Den Lapeh, Mudiak Arau, Badindin dan banyak lagi serta menjadi kebanggaan orang kampung.
“Setiap kali ada majlis pernikahan, lagu dendangan pasti berkumandang di pesta kampung,” kongsinya lagi.
Memetik laporan laman sesawanf Kompas, berita pemergian penyanyi veteran berkenaan disahkan organisasi perantau Minang dipanggil Minang Diaspora Network Global (MDNG).
“Arwah merupakan seorang penghibur legenda dan menjadi kebanggaan masyarakat minang sedunia.
“Semoga diampuni dosa, diterima amal ibadah, diberi tempat yang mulia di sisi-Nya. Semoga keluarga diberi kesabaran, ketabahan dan keikhlasan berdepan berita ini,” kata dalam satu kenyataan.
Jenazah Allahyarham Elly kini ditempatkan di rumah mayat di kawasan Kayu Putih, Pulo Gadung, Jakarta Timur, sebelum disemadikan di Al Azhar Memorial Garden, Karawang. – K! ONLINE
Leave a Reply