Berita Utama

Enam lelaki dihukum mati mandatori bunuh Kevin Morais

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap pakar patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran dan lima lelaki selepas didapati bersalah membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan di dalam dram berisi konkrit, lima tahun lepas.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Kunaseegaran, 57; pemberi pinjaman wang S Ravi Chandaran, 49; serta empat penganggur R Dinishwaran, 28; AK Thinesh Kumar, 27; M Vishwanath, 30 dan S Nimalan, 27.

Hakim Azman mendapati keenam-enam tertuduh mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais.

Azman memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan, dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah.

Sejumlah 84 saksi termasuk 14 saksi dari pihak pembelaan, dibicarakan sejak perbicaaran dimulakan pada 6 April 2016.

Keenam-enam mereka dituduh membunuh Morais, 55, ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini, ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mereka akan dikenakan hukuman mati mandatori, jika didapati bersalah.

– Bernama

Loading...

Leave a Reply