Hiburan

Filem dikritik tak capai standard, ini respon Syahmi Sazli

YouTuber terkenal yang juga pengarah filem Mael Totey The Movie, Syahmi Sazli menyifatkan pandangan pengarah dan penerbit, Ellie Suriati mengenai filem itu belum mencapai tahap teknikal sesebuah penerbitan filem sebagai teguran kakak kepada adik.

Syahmi ketika dihubungi berkata, dia bersetuju dengan apa yang didakwa Ellie itu.

“Modal saya menghasilkan filem itu tak besar dan saya menggunakan peralatan apa yang ada saja. Contohnya kamera yang saya gunakan untuk penggambaran filem ini juga saya gunakan untuk menghasilkan video di YouTube.

“Jadi dari segi teknikal itu, saya setujulah apa yang dia cakap. Tapi, jika dia komen berkaitan ‘standard’ sesebuah karya, saya tak setuju sebab nak tahu juga ‘standard’ macam mana dimaksudkannya. Adakah ‘standard’ sebuah karya itu perlu bersentuhan kerana untuk Mael Totey The Movie, memang tidak ada babak bersentuhan dilakukan. Ia lebih kepada mengikut ‘standard’ saya sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Syahmi berkata, dia melihat setiap pengarah pasti memiliki sentuhan tersendiri untuk setiap karya yang dihasilkan mereka.

“Saya memasuki industri filem ini mengikut cara lain dan tidak seperti penggiat seni lain. Saya tak lalu jalan yang orang lain ikut. Saya buat filem ikut ‘standard’ saya sendiri.

“Jadi, apabila penonton karya saya dapat terima ‘standard’ itu, saya fikir ia sudah berjaya. Lagipun, saya buat filem ini untuk penonton dan pengikut yang sudah kenal dengan karya-karya saya,” katanya.

Syahmi menganggap teguran Ellie itu tidak bersifat peribadi, sebaliknya untuk dia memperbaiki kekurangan dan kelemahan dari aspek teknikal untuk penghasilan karya filemnya yang lain.

Terdahulu, filem arahan sulung Syahmi itu yang ditayangkan di saluran Astro First berjaya meraih kutipan lebih RM5 juta dalam tempoh tiga minggu serta dianggap karya istimewa yang cukup menarik perhatian penonton.

Loading...

Leave a Reply