Blog Berita Online

Berita Utama

Gadis cantik maut kereta dipandu bertembung lori 5 tan

KLUANG – Seorang wanita berusia 21 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabit dengan kemalangan dengan sebuah lori lima tan di Jalan Renggam-Simpang Renggam di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh, berkata mangsa, Tasnim Nazatul Amiera Mohd Masrun, parah di muka, kepala, dada dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah lori dari arah Simpang Renggam menghala ke Renggam manakala mangsa dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan dipercayai memasuki laluan kereta lalu berlanggar.

“Akibat dari perlanggaran itu, pemandu kereta mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ujian awal saringan air kencing terhadap pemandu lori berusia 41 tahun di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kluang didapati negatif.

Sementara itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Muhammad Nizar Ma’mun daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada jam 7.33 malam.

“Susulan itu seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta Hyundai Atos dipandu wanita berkenaan dengan sebuah lori Hino lima tan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kemalangan berkenaan menyebabkan gadis berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit

“Mangsa yang cedera dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Sementara pemandu lori berkenaan katanya, Mohd Suhaimi Samsudin, 42, tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tersebut ditamatkan pada jam 9.42 malam.

Leave a Reply