Blog Berita Online

Viral

Gadis lepaskan biawak terjerut tali terima pujian netizen

Simpati melihat biawak sudah nyawa-nyawa ikan akibat terjerut tali pada leher membuatkan Nur Syahira Natasya Abd Hamid, 21, memberanikan diri demi menyelamatkan reptilia itu.

Detik itu dirakam majikannya Nur Atiqah Mohd Fadzil, 23, ketika di lokasi kejadian berdekatan sebuah restoran di Kampung Baru, di sini, Khamis lalu.

Perkongsian itu kemudian dimuat naik di aplikasi TikTok dan mendapat mendapat pujian warganet atas keberanian yang ditunjukkan gadis itu.

Menceritakan semula kejadian itu, Nur Syahira Natasya berkata, keadaan biawak itu begitu menyedihkan dan seperti dianiaya orang apabila kepalanya dijerut ketat dengan tali pada dua penghadang jalan plastik.

“Sebenarnya sudah dua kali saya pernah menyelamatkan biawak yang hampir mati. Sebelum ini, saya selamatkan biawak tersepit di pagar besi tetapi kali ini lebih teruk kerana keadaannya seperti dianiaya orang.

“Mujur, kami perasan lebih awal kerana keadaannya sudah nyawa-nyawa ikan, mulut merah dan matanya hampir tertutup,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dia yang bekerja sebagai pembantu jualan pakaian terpakai berkata, kejadian itu turut disaksikan rakan sekerjanya yang lain selepas selesai makan tengah hari.

“Waktu kami sampai di restoran, tidak perasan pula biawak itu dan hanya menyedarinya ketika sedang berjalan ke tempat letak kereta.

“Semua terkejut dan sebak dengan keadaan biawak itu sehingga rakan sekerja saya berlari membeli gunting di kedai runcit berhampiran bagi memudahkan saya menyelamatkannya,” katanya.

Berkongsi lanjut, dia yang mesra dipanggil Natasya berkata, perasaan geli dengan biawak itu ada tetapi sudah biasa disebabkan selalu bertembung dengan haiwan itu ketika bekerja di kedai dobi di Langkawi dua tahun yang lalu.

Sementara itu, Nur Atiqah berkata, dia gembira dapat turut serta menyelamatkan biawak itu.

“Tidak semua berani dekat dengan biawak kerana kukunya tajam. Saya bangga mempunyai pekerja yang dapat melakukannya.

“Sebenarnya, kami mahu mengangkat biawak itu masuk ke dalam kereta supaya dapat dilepaskan di kawasan yang lebih baik.

“Begitu pun, kami tidak dapat melakukannya kerana memikirkan keselamatan diri di dalam kereta nanti,” katanya.

Katanya, dalam beberapa minit, biawak itu sudah boleh bernafas dan berjalan sebaik saja ikatan pada kepalanya digunting.

Terdahulu perkongsiannya di aplikasi TikTok mendapat perhatian warganet sehingga mendapat lebih 640,000 tontonan setakat ini.

Leave a Reply