Berita Utama

Gagal bersurai, penganjur dikompaun RM20,000

SEPANG – Kegagalan orang ramai bersurai mengikut syarat permit dalam satu program yang dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, malam tadi menyebabkan penganjur program berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM20,000.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, berdasarkan permit yang dikeluarkan, program berkenaan hanya dibenarkan berlangsung sehingga 12 tengah malam tadi.

“Pihak polis kemudiannya diminta ke lokasi berkenaan apabila orang ramai yang hadir gagal bersurai selepas acara itu selesai.

“Sebaik kehadiran pihak polis di lokasi, barulah diberikan kerjasama dan bersurai. Tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami juga ada mengeluarkan kompaun (RM20,000) kepada pihak penganjur program berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, penganjur program, MUSC Motorsports mengakui pihaknya gagal melaksanakan acara berkenaan mengikut ketetapan norma baharu.

“Matlamat kami mengadakan acara sukan rakyat paling diminati ini walaupun berdepan risiko besar pematuhan penganjuran acara dengan norma baharu ialah untuk membantu merancakkan kembali sektor automotif kita yang mana sudah cukup terkesan sejak bermulanya Covid-19.

“Kegagalan kami mengawal penjarakan fizikal menyebabkan beberapa kali acara terhenti sehingga akhirnya kami terpaksa akur dikenakan kompaun.

“Justeru, kami meminta maaf kepada semua pihak yang terbabit dan tanpa menyalahkan mana-mana pihak sama ada agensi penguat kuasa, penyedia litar iaitu SIC, rakan-rakan program, pasukan ‘drag’, pengunjung dan semua pengikut Musc Drag Racing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu hantaran dan gambar yang menunjukkan orang ramai berkumpul di SIC di acara itu tular di media sosial.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!