Berita Utama

Dapat rasa gangguan lain pada Siti Sarah – Fadzilah Kamsah

Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Mohd. Fadzillah Kamsah dapat berasakan terdapat gangguan paranormal sedang mengganggu penyanyi Siti Sarah yang kini masih berada dalam keadaan koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras sejak dua hari lalu.

Perkara berkenaan didedahkan Fadzillah usai sesi bacaan Yassin dan doa selamat buat Siti Sarah yang anjuran suaminya, pelawak Shuib Sepahtu sebentar tadi.

Dalam sesi berkenaan, penceramah bebas itu turut menyarankan Shuib agar meminta kebenaran daripada pihak hospital untuk membuka bacaan ayat-ayat Ruqyah di sisi Siti Sarah.

“Saya sarankan kepada Shuib, minta kebenaran daripada pihak hospital untuk membuka bacaan ayat-ayat Ruqyah di katil Siti Sarah. Sebab saya dapat rasakan ada gangguan lain pada dia. Gangguan tersebut agak mengganggu dia,” dedah Fadzilah.

Fadzilah turut berkongsi kaedah terbaik merawat penyakit selain bergantung dengan ubat-ubatan dan teknologi moden iaitu bacaan Asma al-Husna.

“Kaedah merawat selain ubat dan teknologi moden adalah Asma al-Husna. Itu adalah terapi untuk semua jenis gangguan.

“Selain itu saya minta semua orang yang ada di sini, tengok gambar Siti Sarah dan bacakan al-Fatihah. Boleh juga baca apa sahaja doa.

“Kemudian hembuskan kepada gambarnya. Dengan niat supaya Allah sembuhkan dia. Mana tahu dalam lebih 1,000 orang yang berbuat demikian, ada seseorang yang Allah angkat doanya,” katanya lagi.

Pada masa sama, Fadzilah turut memberitahu Shuib bahawa bayi yang dilahirkan Siti Sarah pada Jumaat lalu memerlukan sentuhan daripada bapanya untuk terus kuat dan sihat.

“Saya tidak pasti juga macam mana dengan keadaan bayi dalam inkubator, tapi cari jalan dan minta izin untuk jumpa dengannya. Sebab kajian juga menunjukkan, sentuhan ibu bapa sangat berkesan.

“Sentuhlah bayi itu dengan doa, agar dia 100 peratus cepat kuat dan sihat. Itulah terapi paling mustajab,” katanya.

Sehingga kini, pelantun lagu Kesetiaanku itu masih belum sedarkan diri setelah ditidurkan sejak petang Jumaat lalu untuk menjalani pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungannya yang berusia lapan bulan.

Biarpun dilahirkan pra matang dan menggunakan bantuan pernafasan, bayi yang dinamakan sebagai Ayash Affan atas pilihan Sarah itu berada dalam keadaan stabil.

Siti Sarah, 37, sebelum ini dikejarkan ke PPUKM pada Selasa lalu berikutan tahap oksigen dalam badannya yang semakin merosot.

Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas menjalani saringan setelah pembantu rumah disahkan positif virus maut tersebut.

Pasangan itu bernikah pada 2011dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!