Sukan

Giliran Safawi Olahragawan Kebangsaan?

SELEPAS kali terakhir gelaran Olahragawan Kebangsaan diberikan kepada sukan bola sepak pada 1976 dan 1977, sudah tiba masanya anugerah tertinggi buat ahli sukan negara itu dianugerahkan kembali kepada pemain bola sepak tempatan.

Berdasarkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun lalu, sudah tentu Safawi Rasid perlu diberi peluang untuk dinobatkan sebagai atlet terbaik negara dengan kejayaan paling gemilang muncul Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).

Malah, dia turut dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia di samping beberapa kali menjaringkan gol kemenangan buat skuad negara di peringkat antarabangsa.

Prestasinya juga sangat konsisten dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak tiga musim lalu dan kejayaan menggondol hampir 12 anugerah secara individu serta lapan trofi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah selayaknya dipilih sebagai calon Olahragawan Kebangsaan.

Menyingkap senarai pemenang sejak 1966, dua legenda bola sepak negara iaitu Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Shukor Salleh pernah memenangi anugerah berkenaan pada pertengahan 1970-an.

Bagaimanapun, itu kali terakhir pengiktirafan diberikan kepada pemain bola sepak dengan selepas itu atlet badminton, olahraga dan berbasikal mendominasi anugerah.

Menurut jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, Safawi adalah pilihan tepat untuk diberikan pengiktirafan itu.

“Safawi sememangnya layak untuk dijulang sebagai olahragawan berdasarkan kepada aksi dan konsistensinya sebagai seorang atlet. Walaupun sukan bola sepak adalah sukan berpasukan, perlu diingat kehadiran Safawi dalam pasukan sentiasa memberi impak yang besar kepada pasukan.

“Dia seorang pemain yang boleh beraksi secara berpasukan, malah dia juga kadang-kadang boleh menukar ‘butang’ kepada aksi individu yang kemudiannya menghasilkan gol.

“Lihat golnya banyak dilakukan menerusi sepakan percuma atau gerakan solo daripada sebelah tepi yang kemudiannya menghasilkan gol.

“Kalau di Barcelona ada Messi…kalau di Juventus ada Ronaldo, tetapi kalau pasukan Malaysia dan JDT pula saya andaikan kena ada Safawi,” katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya,, bekas pemain T-Team itu adalah ikon sukan negara dengan kejayaan cemerlang yang dilakarnya.

“Dia masih muda dan ketika ini berada pada puncak prestasi. Dia juga menjadi ikutan pemain muda yang mahu menjadi sepertinya.

“Bagi saya, selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei (bersara dari sukan badminton), dia adalah atlet contoh terbaik daripada sukan bola sepak,” katanya.

Loading...

Leave a Reply