Berita Utama

Guan Eng lewat 3 jam ke SPRM, tayar kereta tiba-tiba pancit

BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengalami nasib yang di luar jangkaan hari ini.

Pagi-pagi lagi tayar kenderaan yang dinaikinya pancit sedangkan hari ini beliau mempunyai jadual untuk berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu memuat naik gambar dalam akaun laman sosial Facebook miliknya, menunjukkan tayar keretanya pancit di Lebuhraya Utara-Selatan.

Guan Eng tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya lewat hampir tiga jam daripada waktu janji temu yang ditetapkan SPRM iaitu pada 10 pagi.

Memetik laporan Bernama, Ahli Parlimen Bagan itu dilihat memasuki bangunan SPRM pada 12.40 tengah hari ditemani peguamnya RSN Rayer.

Ini merupakan kali kedua Guan Eng hadir di SPRM bagi memberi keterangan berkaitan siasatan terhadap projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Kali pertama beliau hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM ialah pada Rabu lepas. Beliau sepatutnya hadir semula di SPRM selepas itu namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak sihat.

Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek terowong itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan serta beberapa Exco dan bekas Exco kerajaan negeri turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata kertas siasatan berkaitan kes itu dijangka dapat diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.-SM

Loading...

Leave a Reply