Blog Berita Online

Berita Utama

Guru cadang bekas komando jadi warden asrama sekolah

Kuala Lumpur: Seorang guru yang tular dalam memperjuangkan isu hak guru dan pendidikan di laman sosial Facebook, Mohd Fadli Salleh, mencadangkan jawatan warden di asrama sekolah diberikan kepada pihak luar.

Melalui muat naik laman sosial Facebook (FB) peribadinya, Mohd Fadli mencadangkan sudah masanya mewujudkan jawatan khas sebagai warden asrama seperti warden penjara.

“Tugas mereka 100 peratus jadi warden dan ada giliran. Bukan lagi ambil dalam kalangan guru. Kalau boleh ambil daripada kalangan askar pencen ke, bekas polis ke, bekas komando ke lagi bagus.

“Baru disiplin pelajar makin tinggi dan mereka pun tak berani main-main. Guru ni nak rotan murid tak boleh, nak tengking tak boleh, nak marah-marah pun tak boleh. Kemudian bila berlaku kes buli nak tunding jari pada warden,” katanya.

Muat naik berserta sekeping gambar kes buli pelajar yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak itu mendapat pelbagai reaksi warganet di FBnya.

Beliau juga yang yang tular memperjuangkan isu silibus ‘kayangan’ tahun satu, jadual padat dan beg sekolah berat, turut menyuarakan tugasan warden asrama cukup berat dan tidak relevan dengan elaun yang diterima.

“Bila isu begini timbul, akan ada yang mempersoalkan, mana warden? Warden buat apa? Warden tak bertanggungjawab. Sepatutnya warden sentiasa pantau.”

“Tahukah kalian, majoriti warden asrama adalah paksa rela? Tugas warden sangat-sangat berat, elaun cuma RM240 sebulan. Langsung tak berbaloi.

“Semua aktiviti asrama warden kena ada, masa lapang, kena pusing asrama, kena pastikan itu ini, check itu, check ini, kejar pelajar dan sebagainya.

“Kebebasan warden hampir hilang. Hujung minggu nak keluar dengan anak bini pun susah. Nak pergi bercuti hujung minggu pun susah selagi ada pelajar kat asrama. Jika ada apa-apa berlaku kat pelajar dan warden tiada, masalah besar,” katanya.

Beliau berkongsi lagi, tugasan warden cukup berat dan mendedahkan, majoriti guru menolak menjadi warden kerana tanggungjawab besar serta terlalu berat tidak setimpal dengan elaun diterima.

“Jam 3-4 pagi pintu rumah warden kena ketuk lagi. Ada pelajar sakit kena hantar hospital, ada yang mengadu kena buli ke apa, bunyi bising hingga terpaksa bangun ronda dan macam-macam lagi tugasan.

“Pelajar nakal ni, mereka tak buat jahat depan warden. Dan warden tak boleh ada 24 jam sehari bersama mereka.

“Takkan warden nak tidur dalam dorm pelajar? Anak bini kat rumah bagaimana?,” katanya.

Beliau menyambung lagi, kes buli di asrama perlu dihapuskan dan tidak boleh dibiarkan kes terus berleluasa.

“Banyak kes yang tak tersebar, yang warden dan pihak sekolah pun tak tahu. Yang mana pelajar hanya simpan dalam diam kes mereka dibuli sebab takut, diugut dan seumpamanya.

“Bahkan sampai ke kolej, sampai pusat matrik, sampai ke universiti budaya buli ni masih ada. Paling sedih, ada seorang kawan aku sampai pekak sebelah telinga akibat dibuli,” katanya.

Leave a Reply