PADANG TERAP – Seorang guru lelaki meninggal dunia di hospital selepas Perodua Bezza dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 31 Jalan Kuala Nerang – Kampung Sungai Kap, di sini, semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Sayuthi Abdul Halim dan berusia 35 tahun itu meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, kejadian berlaku jam 8 pagi semalam membabitkan Perodua Bezza yang dipandu mangsa dengan Nissan Almera yang dipandu seorang lelaki bersama penumpang wanita.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati guru lelaki terbabit dalam perjalanan dari rumahnya di kawasan itu ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Nami.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian di jalan lurus dua hala, dipercayai Nissan Almera yang dipandu lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah hadapan memasuki laluan Perodua Bezza.
“Akibat daripada itu, berlaku pertembungan di bahagian depan kedua-dua kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mulkiaman berkata, pemandu Perodua Bezza itu disahkan meninggal dunia selepas pihaknya menerima panggilan dari HSB pada jam 11.35 pagi semalam.
Beliau berkata, pemandu kereta Nissan Almera pula mengalami pendarahan dalam perut dan sedang dirawat di HSB, manakala penumpang wanita berusia 19 tahun dirawat di Hospital Kuala Nerang (HKN) akibat kecederaan di kaki.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply