Viral

Guru terdiam lihat anak murid pakai mask kotor, tiada duit beli yang baharu

SEBAGAIMANA diketahui umum, pemakaian pelitup muka mula diwajibkan di Malaysia sejak 1 Ogos lalu.

Namun, ia sudah menjadi amalan dalam kalangan pelajar dan guru untuk memakainya apabila sesi persekolahan dibuka semula Julai lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Di Twitter, tular perkongsian seorang guru mengenai pelitup muka salah seorang anak muridnya yang kelihatan cukup daif.

Ia bukan sahaja sudah tercemar, malah tali pada pelitup muka itu juga telah dijahit semula menggunakan benang hitam.

Menurut Fazri Hassan, guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Gas, Sandakan, Sabah, kejadian pada pagi Rabu itu membuatkan dia terdiam sebagaimana dikongsinya di Twitter.

“Masa tu sedang mengajar dalam kelas, saya berbincang dengan murid-murid topik pemakaian pelitup muka.

“Saya tanya kenapa perlu pakai dan sebagainya sehinggalah saya nampak pelitup muka seorang murid ni sudah kotor.

“Dia sebenarnya murid pendidikan khas tahun enam, murid lelaki. Tapi saya memang dah ada standby dalam kereta dan dalam kelas, jadi saya bagi yang baru untuknya,” ujar guru berusia 27 tahun itu kepada mStar.

Mesra disapa Fazri, dia juga mengakui tersentuh sekiranya ada pelajar yang terpaksa mengulang pakai pelitup muka.

Peka akan hal itu, dia juga mengakui akan memeriksa pemakaian pelitup muka dengan lebih kerap selepas ini untuk memastikan kebersihan dan keselesaan dalam kalangan pelajarnya.

“Memang tahu ada sesetengah keluarga yang mungkin tak mampu nak sediakan pelitup muka baharu setiap hari.

“Sebab pelitup muka dah jadi barang keperluan. Bagi yang berduit, mungkin tiada masalah.

“Tapi ada insan lain yang kesempitan, ada yang kehilangan kerja waktu PKP dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Setelah berkongsi kisah itu di TWitter, Fazri turut menerima mesej beberapa individu yang mahu memberi sumbangan pelitup muka buat murid-muridnya.

Bersyukur dengan tawaran murni itu, dia bagaimanapun menolak dengan cara baik dan mengakui masih lagi mampu untuk menguruskan hal berkenaan bersama rakan guru yang lain.

“Bukan nak menidakkan kebaikan orang. Cuma kami boleh uruskan lagi. Selepas saya kongsi di Twitter, ada dalam lima orang nak bantu.

“Setakat ini, saya dan guru lain boleh cover lagi. Kami bantu selagi kami mampu.

“Apa-apapun. terima kasih atas tawaran itu,” ujarnya lagi.

Loading...

Leave a Reply