Berita Utama

Guru wanita maut, anggota bomba cedera dalam kemalangan

SIK – Seorang guru wanita maut selepas kereta Honda CRV yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan tiga lagi kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah di Jalan Jeniang-Sik-Pedu (Jalan Sungai Pau) di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang tadi, mangsa, Fatin Syazrina Mohd Yusof, 30, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Selain itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Saiful Azhar Ahmad Fadzil, 45, pula cedera di tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati sebuah Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 61 tahun dari arah Jeniang menghala ke Sik dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibat daripada itu, kereta terbabit melanggar sebuah Honda CRV dan sebuah pacuan empat roda Bomba dan sebuah Mitsubishi Subaru Legacy.

“Akibat dari pelanggaran itu, kereta Honda CRV yang dipandu guru wanita terbabit melambung dan berpusing beberapa kali lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdull Razak berkata, guru wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu kereta Proton Wira itu dan pemandu Mitsubishi Subaru Legacy iaitu lelaki berusia 27 tahun itu tidak cedera.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat.

“Penumpang hadapan kereta Proton Wira itu yang berusia 60 tahun cedera di kaki manakala anggota bomba terbabit cedera di tangan kiri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata anggotanya dalam perjalanan pulang ke Guar Chempedak selepas selesai menjalani latihan bot di Sik.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 2.44 petang dan sepasukan anggota dari BBP Sik tiba di lokasi pada jam 2.55 petang untuk membantu mangsa.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!