Politik

Bukan Azmin, tapi Hamzah Zainuddin akan dilantik TPM?

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob dikatakan akan memegang jawatan menteri kewangan dalam kabinet baharunya yang dijangka diumumkan minggu ini, kata sumber kepada China Press.

Akhbar harian itu juga melaporkan timbalan perdana menteri akan dijawat oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin yang juga akan mengekalkan jawatannya sebelum ini sebagai menteri dalam negeri.

China Press yang memetik sumber turut melaporkan Ismail Sabri dijangka mengekalkan beberapa menteri dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin, namun jumlah anggota jemaah menteri mungkin dikurangkan.

Ismail Sabri akan menggantikan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai menteri kewangan sementara naib presiden Umno Mahdzir Khalid dijangka mengambil alih portfolio beliau sebelum ini sebagai menteri pertahanan.

Dr Adham Baba dijangka digugurkan daripada kabinet Ismail Sabri dan diganti oleh bekas menteri pembangunan luar bandar Dr Abdul Latiff Ahmad sebagai menteri kesihatan.

Dr Latiff adalah bekas timbalan menteri kesihatan dalam kabinet Abdullah Ahmad Badawi. Menterinya pada masa itu Chua Soi Lek yang kemudian diganti oleh Liow Tiong Lai. Ahli Parlimen Mersing itu pernah juga berkhidmat sebagai pengarah hospital di Mersing dan pegawai perubatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dijangka akan memegang menteri komunikasi dan multimedia, sementara portfolionya sebelum ini diambil alih oleh ahli Parlimen Umno Jelebu Jalaluddin Alias.

China Press turut melaporkan Hishammuddin Hussein akan kekal sebagai menteri luar negeri.

Mohamed Azmin Ali juga dilaporkan kekal di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beberapa bekas menteri dalam kabinet Muhyiddin juga dilaporkan kekal antaranya Wan Junaidi Tuanku Jaafar (pembangunan usahawan dan koperasi), Khairy Jamaluddin (sains, teknologi dan inovasi), dan Zuraida Kamaruddin (perumahan dan kerajaan tempatan).

Bekas menteri lain yang kekal, menurut laporan itu, ialah Wee Ka Siong (pengangkutan), M Saravanan (sumber manusia), Reezal Merican Naina Merican (belia dan sukan), Alexander Nanta Linggi (perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna).

Azalina Othman Said yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan yang di-Pertua Dewan Rakyat dijangka diangkat menjadi menteri, namun portfolio baharunya masih belum diketahui.

Sementara itu “kluster mahkamah” Umno seperti Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Adnan Tengku Mansor tidak dimasukkan dalam senarai kabinet baharu Ismail Sabri.

Sumber turut memberitahu China Press perdana menteri dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong awal hari ini bagi mengemukakan senarai calon jawatan kabinet baharu.

Anggota jemaah menteri baharu dijangka mengangkat sumpah di Istana Negara pada Jumaat ini. – 25 Ogos, 2021.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!