BEBERAPA hari menjelang Aidilfitri, harga ayam yang dijual di pasaran dilihat mengalami kenaikan sehingga RM10 sekilogram.
Peniaga ayam, Eddy Muhamad, 32, berkata, sejak tiga hari ini, berlakunya tiga kali kenaikan harga ayam yang dijual olehnya.
Katanya, Khamis lalu, dia menjual ayam pada harga RM9, Jumaat RM9.30 dan terkini dijual pada harga RM9.50 sekilogram.
“Biasanya, apabila Aidilfitri harga ayam itu akan mengalami kenaikan. Saya rasa kenaikan harga ini akan berhenti sehari sebelum nak raya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Pasar Chow Kit, hari ini.
Sebelum ini dilaporkan, ayam tidak tersenarai antara barangan yang terbabit dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri tahun ini berikutan harganya di pasaran stabil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, senarai bawah skim itu hanya membabitkan barangan yang mempunyai risiko kenaikan harga keterlaluan.
Mengulas lanjut, Eddy berkata, daripada segi stok ayam, pihaknya tidak menghadapi masalah dan permintaan untuk keperluan orang ramai untuk menyambut Aidilfitri juga dijangka mencukupi.
Seorang lagi peniaga ayam, Shahrizal Saad, 50, turut mengakui harga ayam yang dijualnya mengalami kenaikan sebanyak 50 sen berbanding dua hari lalu.
“Hari ini saya jual ayam RM10 sekilogram berbanding Khamis lalu dijual pada harga RM9.50.
“Kalau pasal kenaikan ini, kena tanya ladang ayam. Bukan saya yang letak harga (di pasaran). Yang kawal harga itu ladang ayam,” katanya.
Dia berkata, sempena Aidilfitri ini, pihaknya memesan sebanyak 100 ekor ayam.
“Kalau hari biasa saya pesan 60 ekor saja tetapi untuk Aidilfitri ini saya tempah 100 ekor sehari,” katanya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Azmil Fakhri Ahmad, 40, pula berkata, harga ayam dibelinya RM9.50 sekilogram masih lagi berpatutan.
“Saya berharap untuk beberapa hari akan datang ini tak ada kenaikan. Daripada dulu kita selalu dengar nak dekat musim perayaan harga naik.
“Kerajaan perlu berbuat sesuatu jika berlakunya kenaikan. Banyak lagi kita nak guna duit untuk perkara lain,” katanya.
Leave a Reply