Berita Utama

Harga durian musim ini dijangka murah

MENJELANG Jun hingga Ogos, peniaga buah sekitar Balik Pulau biasanya sudah mula berkira-kira menghitung pulangan hasil musim buah durian yang memang terkenal di sekitar kawasan ini semasa tempoh berkenaan, namun tahun ini keadaannya mungkin tidak menentu.

Berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang bermula semalam, ia menyebabkan peniaga durian dari Balik Pulau mulai bimbang, dan membuat pelbagai persediaan kemungkinan berhadapan dengan kerugian berikutan lambakan buah, sekiranya raja buah itu tidak dapat dipasarkan secara lebih meluas.

Seorang peniaga durian Shamsol Abdul Aziz, 34, berkata, dia mengusahakan kebun durian seluas 1.6 hektar di Sungai Pinang, Balik Pulau dan sudah melabur lebih RM120,000 sejak tahun lalu untuk memastikan hasilnya pada musim ini terutama penjagaan serta pembelian baja berkualiti bagi pokok durian di kebunnya.

“Kebanyakan pengusaha kebun durian memang membuat pelaburan dengan kos yang besar supaya hasil durian tahun ini lebih baik, macam saya sendiri, kemungkinan hasil kebun meningkat sehingga 17 tan berbanding 11 tan tahun lalu… jadi buah durian tahun ini lebih banyak, dan harga turun antara RM5 hingga RM10 setiap kilogram.

“Dijangka nanti mungkin timbul sedikit masalah apabila pasaran buah yang sebelum ini boleh dijual hampir ke seluruh Semenanjung Malaysia terutama Kuala Lumpur, akan tergendala berikutan pelaksanaan SPP, malah orang ramai juga hanya boleh keluar dalam radius 10 kilometer sahaja, mungkin saya sendiri akan alami kerugian RM80,000,” katanya ketika ditemui, semalam.

Shamsol yang mengusahakan kebun durian sejak 10 tahun lalu berkata, tahun lalu dia bersama peniaga durian lain berdepan kesukaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan dia sama sekali tidak menyangka situasi lebih getir dihadapi tahun ini, malah terpaksa menggunakan pelbagai platform terutama dalam talian bagi memastikan buah durian dapat dipasarkan kepada pembeli.

Katanya, dia sudah cuba berniaga durian secara dalam talian dan menyertai platform Jom Beli Online (JBO@MBPP) yang diperkenalkan oleh MBPP, namun hasil jualan tidak serancak ketika berniaga di gerai kerana orang ramai kebanyakannya lebih suka melihat dan memilih sendiri durian yang hendak dibeli.

Seorang lagi peniaga, Siti Hallimaton Ayob, 50, berkata, dia dan suami terpaksa membawa hasil buah durian kebunnya di Balik Pulau untuk berniaga di kawasan Sungai Dua kerana permintaan lebih baik di situ berbanding di Balik Pulau, yang kebanyakan penduduk mempunyai dusun sendiri.

Katanya, pergerakan dalam radius 10 kilometer juga menyebabkan tidak ramai penggemar durian boleh membelinya terus dari Balik Pulau kerana kedudukannya jauh dari penduduk di pusat bandar, malah dia bimbang berlaku lambakan berikutan buah akan banyak dalam tempoh dua minggu lagi.

“Sebagai peniaga saya memang berterima kasih kerajaan benarkan peniaga beroperasi, namun kami terpaksa melakukan pelbagai promosi dengan kaedah tersendiri bagi memasarkan durian termasuk penjualan dalam talian dan khidmat penghantaran (rider) untuk menghantar durian kepada pembeli,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!