Berita Utama

Harga durian perlu dikawal supaya pengguna tidak tertipu

Setiap kali tiba musim ‘raja buah’ pasti ada pengguna yang mengeluh, apabila berasa diri mereka tertipu selepas membeli durian pada harga tinggi sedangkan kualitinya tidak seberapa.

Lebih mengecewakan, apabila pulang ke rumah mendapati bahawa durian yang dibeli mengkal (tidak masak), busuk, tawar, isi berwarna putih dan sebagainya.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan, berkata sudah tiba masanya pihak kerajaan campur tangan memperkenalkan harga siling buah durian klon, mengikut gred.

“Sebagai contoh, harga buah durian jenis Musang King mempunyai gred A, B dan C, harga siling ditetapkan berdasarkan gred buah dan tindakan diambil kepada peniaga menjualnya lebih tinggi daripada harga yang telah ditetapkan,” katanya kepada media, di Kangar, baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini, mengenai sikap segelintir peniaga durian yang menjual buah berkenaan, mengikut model kereta yang digunakan pembeli.

“Bukan semua orang mampu membeli durian, lebih-lebih lagi mereka mempunyai anak ramai.

“Sebagai contoh, apa perasaan seorang ayah kepada lima anak yang hanya mampu membeli sebiji dua buah durian tetapi apabila pulang ke rumah mendapati buah yang dibeli rosak atau isinya keras,” katanya.

Che Hassan berkata, alasan yang diberikan harga durian tidak boleh dikawal kerana ianya buah bermusim adalah tidak wajar lagi.

Beliau menasihati pengguna supaya membawa bekas ketika membeli buah durian agar mereka tidak mudah tertipu.

“Nasihat saya apabila beli buah durian, jangan bawa balik sekali dengan kulit, sebaliknya kupas durian dan letak isi dalam bekas terlebih dahulu,” katanya.

– Bernama

Loading...

Leave a Reply