Berita Utama

Hasil kerajaan zaman PH naik selepas jarah duit Petronas RM54 bilion

PETALING JAYA – Najib Razak berkata, hasil tinggi yang diperolehi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tahun lalu sebahagian besarnya disumbangkan dividen Petronas sebanyak RM54 bilion berbanding RM38 bilion ketika pemerintahan Barisan Nasional.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu mempersoalkan defisit dan perbelanjaan kerajaan PH yang lebih tinggi tahun lalu.

Katanya, pemimpin PH menipu rakyat dengan mendakwa prestasi kerajaan pimpinan mereka baik disebabkan hasil kerajaan meningkat 13.5% tahun lalu kepada RM264.4 bilion, sedangkan hutang kerajaan tahun lalu ialah yang tertinggi dalam sejarah negara, iaitu RM792.9 bilion berbanding RM741 bilion pada 2018 dan RM686.8 bilion pada 2017 ketika pentadbiran BN.

“Hutang negara naik amat laju tahun lepas, walaupun dividen Petronas paling tinggi dalam sejarah dan banyak aset negara dijual sehingga aset bersih Khazanah jatuh daripada RM116 bilion pada 2017 di bawah BN kepada RM73 bilion pada akhir 2019.

“Bagaimana pula hasil kerajaan mampu naik pada 2019 sedangkan GST (cukai barang dan perkhidmatan) sudah tiada, ekonomi paling teruk sejak 10 tahun lalu, ‘share market’ paling corot dalam dunia dan harga minyak dunia rendah?” tulisnya di Facebook hari ini.

Terdahulu, ketua audit negara dilaporkan berkata, hasil kerajaan persekutuan pada 2019 berjumlah RM264.415 bilion, meningkat sebanyak RM31.532 bilion atau 13.5% berbanding 2018, tetapi perbelanjaan mengurus yang diluluskan tahun lalu ialah RM260.547 bilion dan perbelanjaan sebenar berjumlah RM263.343 bilion.

Terdahulu, Lim Guan Eng yang juga bekas menteri kewangan berkata, hasil tinggi kerajaan itu ialah contoh kejayaan tadbir urus baik oleh kerajaan PH tanpa GST.

Katanya, penghargaan patut diberikan kepada penjawat awam di bawah Kementerian Kewangan yang memastikan hasil kerajaan dikutip dengan teratur dan telus.

“Saya berharap kerajaan PN akan beralih fokus daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara, kepada meminjam lebih banyak wang untuk berbelanja demi membantu rakyat Malaysia dengan menyelamatkan pekerjaan, mata pencarian dan perniagaan mereka,” tulisnya di Facebook.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!