Hasrat seorang pemuda untuk melangsungkan perkahwinan tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Berapit, Bukit Mertajam, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Muhamad Zahid Azali, 25, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederan parah.
Menurut sumber, mangsa baru sahaja bertunang dengan gadis pilihannya dua bulan lalu dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kemalangan berlaku apabila salah sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Mertajam menuju ke Berapit dipercayai cuba memintas sebuah kenderaan lain sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.
Kata Shafee, kereta yang terbabas itu kemudian bertembung dan melanggar motosikal mangsa serta sebuah lagi kereta yang datang dari arah sama dengan motosikal terbabit.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayatnya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam di sini untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ujar Shafee, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Leave a Reply