Blog Berita Online

Berita Utama

Hasrat bertunang tak kesampaian, frontliner maut rempuh treler

“Arwah ada menghantar WhatsApp pada 4.30 petang semalam dan minta saya jaga diri, teruskan berniaga dan jaga mama serta abah dia.

“Saya tak sedap hati sebab macam pelik, tapi saya tak nak fikir apa-apa ketika itu. Tak sangka rupanya, dia pergi buat selama-lamanya,” kata Muhammad Amirul Rusli, 37.

Dalam kejadian 9 malam tadi, bakal tunang Muhammad Amirul, Nur Fariesha Alia Azizan, 23, meninggal dunia selepas Perodua Viva dipandu melanggar bahagian kanan treler di Kilometer 22.1 Lebuhraya Utara Selatan dekat Jalan Jitra-Changlun.

Muhammad Amirul berkata, ketika kejadian, Nur Fariesha yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu baru selesai bertugas di Stesen Kuarantin Covid-19 Institut Aminuddin Baki di Kubang Pasu dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Resak, Changlun.

“Kalau ikut perancangan, kami berhasrat untuk bertunang sebelum Ramadan ini dan arwah mahu pulang ke Langkawi pada Sabtu untuk meminta restu ibunya dan menyampaikan hasrat ini.

“Namun apa yang kami rancangkan tidak kesampaian apabila arwah pergi buat selama-lamanya dan saya rasakan seperti mimpi dia dah tak ada,” katanya yang juga anggota APM Kubang Pasu.

Muhammad Amirul berkata, dia berniaga sate pada waktu malam dan arwah biasanya akan singgah di gerainya di Jalan Manggol, Tunjang selepas selesai bertugas.

“Semalam dia tidak singgah sebaliknya, saya terima panggilan yang mengatakan dia kemalangan. Saya sempat melihat anggota bomba mengeluarkan jasad arwah dari jauh,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Dia juga berkongsi pertemuan dengan Nur Fariesha Alia yang dikenali selepas sama-sama berkhidmat dalam APM sejak empat tahun lalu, malah arwah digambarkannya sebagai seorang tegas dan penyayang.

Jenazah Nur Fariesha Alia akan dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Gelam, Jitra untuk dikebumikan, hari ini.

Leave a Reply