SHAH ALAM – Presiden Amanah, Mohamad Sabu membidas tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dan menyokong dirinya sebagai perdana menteri.
Katanya, Muhyiddin sudah tidak lagi mendapat majoriti untuk terus mentadbir negara pada ketika ini.
“Hilang majoriti sila letak jawatan. Tidak perlu lagi untuk tawar menawar menggunakan jawatan yang sudah tidak sah. Memalukan satu dunia menonton,’ katanya dalam satu hantaran di Twitter pada Jumaat.
Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.
Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.
Leave a Reply