Berita Utama

Hina Jata Negara: Kalau tak suka Malaysia, berambus sajalah, kata novelis

KUALA LUMPUR – Seorang penulis novel indie, tampil mengkritik penerbitan sebuah buku yang menjadi kritikan warganet beberapa hari ini – Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia.

Mohamad Nomi Nowzir, yang terkenal dengan novel Awek Chuck Taylor mengingatkan kepada penerbit buku berkenaan agar meninggalkan saja tanah air ini sekiranya tidak selesa atau benci dengan sistem yang sejak sekian lama diamal dalam negara.

“Kalau dah tak suka cara negara ini bergerak, kontrak sosial yang telah dipersetujui datuk nenek kita dulu, dan tak suka lambang dan apa jua yang melibatkan negara ini, keluar saja la dari negara ni.

“Kita rakyat Malaysia boleh dengar kritikan, tapi kalau menghina jata negara ini, adalah orang yang tak layak duduk dalam negara dan bolehlah berambus cari negara yang lebih liberal mengikut selera norma peradaban kamu,” katanya kepada SuaraTV.

Menurut Nomi, kumpulan penulis dalam buku tersebut juga merupakan sekumpulan wartawan daripada agensi berita yang sering menyiarkan berita dan artikel yang banyak membuat kritikan berkenaan sistem sosial dan institusi raja-raja.

Kumpulan penulis ini juga menurutnya membuat kritikan melalui tulisan mereka tanpa memahami sentimen sebenar yang terdapat dalam kumpulan masyarakat kelas bawahan, terutama yang tinggal di pedalaman.

“Tengok senarai nama penulis pada buku ni, semua nama golongan Bangsar Bubble (aktivis, pejuang hak asasi manusia, liberals).

“Mereka ini langsung tidak memahami sentimen golongan marhein dan golongan yang tinggal di pedalaman.

“Mereka ingat dengan menghina jata negara sebegini, mereka akan dapat perhatian dan sokongan,” katanya.

Sejak beberapa hari lepas, gambar kulit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia mendapat perhatian di media sosial apabila ada warganet mendakwa susun letak kulit buku itu menghina Jata Negara.

Petang hari ini, Pemuda Umno, Pemuda PAS, Pemuda MCA dan Pemuda MIC hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi membuat satu laporan polis berhubung lakaran pada buku berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa polis telah diarahkan membuat siasatan berhubug sebuah rekaan grafik pada kulit sebuah buku yang didakwa menghina jata negara.

Menurut Hamzah juga, polis turut diarahkan untuk mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu.

Katanya, Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa meniru lambang yang serupa lambang kerajaan persekutuan, iaitu jata negara.

Loading...

Leave a Reply