Blog Berita Online

Viral

‘Ibu, abi.. Arfan rindu…’ – Ajak balik tak mahu, kanak-kanak leka main di pusara mak ayah undang sebak

Pada usia yang baru mencecah umur 2 tahun, siapa sangka anak kecil ini diuji dengan kehilangan orang penting dalam hidupnya sekaligus. Masih belum memahami kehilangan kedua ibu bapanya walaupun perasaan rindu untuk memanggil ibu dan abi sentiasa meniti di mulut Muhammad Arfan Ziqri.

Sejak pemergian kedua ibu bapa Arfan setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya hampir dua bulan lalu, kini Arfan dijaga sepenuhnya oleh ahli keluarga di kedua-dua belah pihak di Kelantan.

Leka bermain di pusara ibu dan abi

Melalui perkongsian bapa saudara Arfan, Azuan Shamsuddin yang membawa anak kecil ini menziarahi pusara kedua ibu bapanya nyata mengundang sebak.

Ini kerana melihat keletahnya bermain di pusara ibu dan abinya sambil memanggil “ABI, IBU” cukup mengambarkan kerinduan Arfan kepada insan yang paling rapat dengannya sebelum ini.

Walaupun belum pandai meluahkan isi hatinya, dari raut wajah dan tingkah laku Arfan nyata masih mengharapkan kehadiran insan yang amat penting dalam hidupnya itu.

Ajak balik tak nak, asyik panggil ibu

Menurut Azuan lagi Arfan dilihat seolah-olah ingin bercakap dengan ibunya. Dia juga kelihatan amat merindui allahyarham ibu dan abinya dan tak mahu berganjak apabila diajak pulang.

“Bila cakap ibu kat sini dia pun duk bu bu bu seolah-olah memanggil. Tak nak balik, suka duk main pasir situ, kat rumah tak main pasir pun.

“Allahu jelas nampak dia rindu, tarik tangan nak balik pun tak mahu,” kongsinya.

Sebelum ini, kisah arwah Nurul Ashikin dan suaminya, Lans Koperal Muhammad Shakiran Shamsuddin, 30, tular selepas pasangan ini terlibat dalam kemalangan maut selepas motosikal ditunggangi melanggar sebuah lori di Jalan Syed Putra menghala pusat bandar.

Ketika kemalangan itu, arwah Nurul Ashikin sedang hamil anak kembar dan kandungannya sudah hampir dua bulan namun semua ahli keluarga tak mengetahui berita kehamilan tersebut sehingga menjumpai buku pemeriksaan kandungan dalam beg tangan arwah.

Apa yang membuatkan Arfan cukup merindui ibunya itu, pagi sebelum kejadian tersebut, arwah Nurul Ashikin sempat berpesan pada anaknya “Jangan nangis-nangis, petang ibu ambil ye” ketika menghantar Arfan ke rumah pengasuh.

Perkara ini telah dikongsikan oleh pengasuh anak arwah yang dikenali sebagai Nor. Namun ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menolaknya.

Membesarlah dengan penuh kasih sayang

Memandangkan Arfan masih memerlukan kasih sayang, orang ramai yang mengikuti kisahnya ini sentiasa mengharapkan keluarga kedua-dua belah pihak memberi sepenuh kasih sayang buat anak yatim piatu ini dan sentiasa berada dalam keberkatan Allah.

Kepada ayah saudaranya jadilah pemegang amanah yang terbaik. Jaga anak ini dengan penuh kasih sayang kepada adik Arfan. Semoga Arfan kuat dan tabah membesar dengan baik dan menjadi insan berjaya serta menjadi sehebat Rasullulah SAW. Baginda juga seperti anakanda. Sayang Arfan!

Sumber: Azuan Shamsuddin

Leave a Reply