Blog Berita Online

Berita Utama

Ibu, anak maut kereta terbabas rempuh konkrit

KINABATANGAN: Dua beranak maut manakala tiga lagi cedera parah apabila kenderaan dinaiki terbabas lalu merempuh konkrit yang berada di bahu jalan berhampiran Jalan Kampung Segaliud Seberang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.02 pagi dan sepasukan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak 21 kilometer dari balai.

Difahamkan kenderaan dinaiki kesemua lima mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki terbabas sendiri di bahu jalan ketika dalam perjalanan menuju ke Kinabatangan.

“Dua mangsa wanita yang merupakan ibu dan anak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Sementara itu, suami serta dua anak saudara lelaki yang berusia 15 dan 16 tahun mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.22 pagi.

Leave a Reply