KUALA LUMPUR – Ibu penyanyi rock, Joey BPR meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dipercayai akibat kegagalan buah pinggang dan masalah jantung, hari ini.
Joey, 57, atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi mengumumkan berita sedih itu menerusi satu hantaran di Facebook.
Hantaran yang dimuat naik itu mendapat reaksi pantas rakan-rakan artis dan peminat yang melahirkan simpati dan bersedekah surah al-Fatihah buat Allahyarham ibunya.
Pada 6 Mac tahun lalu, Joey yang juga penyanyi kumpulan BPR memaklumkan ibunya terjatuh di rumah mengakibatkan tulangnya patah dan ditempatkan dalam zon merah Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Baru-baru ini, Joey turut memaklumkan dia menolak pelawaan untuk muncul dalam program televisyen kerana mahu fokus pada ibunya yang terlantar sakit.
“Aku hanya mampu menangis, menangis, menangis. Baru balik hospital. Tunggu kat depan doktor keluar. Dia beritahu mak cuma boleh buka mata saja bila dipanggil. Dia pakai tiub untuk makanan dan bantuan oksigen.
“Dia dimasukkan antibiotik. Sebenarnya mak kena ‘minor stroke’ menyebabkan buah pinggang gagal berfungsi dan jantung ada masalah. Sebab tu dia sesak nafas,” tulisnya di Facebook.
Leave a Reply