Blog Berita Online

Berita Utama

Ibu Khairul Fahmi Che Mat meninggal dunia

KOTA BHARU – Ibu kepada bekas penjaga gol Kelantan dan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat kembali ke rahmatullah di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, awal pagi tadi.

Khairul Fahmi atau dikenali Apek ketika dihubungi mengesahkan Allahyarham ibunya, Bidah Ibrahim, 65, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

“Ikutkan hari ini hari keempat emak saya dimasukkan ke hospital. Namun Subuh pagi tadi, saya terima panggilan daripada anak saudara mengatakan emak telah meninggal dunia.

“Emak memang ada sejarah penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis. Itu sahaja yang saya tahu mengenai latar belakang penyakitnya,” kata penjaga gol berusia 32 tahun itu ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Khairul Fahmi yang menyarung jersi Melaka United FC sejak 2018 mempunyai tugasan bersama pasukannya menentang Kedah Darul Aman FC pada aksi terakhir Liga Super di Alor Setar, malam tadi.

Sejurus perlawanan, pasukannya bertolak pulang ke Melaka dan awal pagi tadi dia dikejutkan berita pemergian Allahyarham ibunya sebelum bergegas pulang ke Kota Bharu, tengah hari tadi.

Terdahulu, laman sosial rasmi Melaka United FC memuat naik berita dukacita itu selain turut merakamkan takziah kepada Khairul Fahmi di atas pemergian ibunya.

Sementara itu, Khairul Fahmi memberitahu, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherang, dekat sini, petang ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Leave a Reply